KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia memberi tumpuan kepada usaha memudah cara perdagangan hasil pertanian di sempadan Sarawak-Kalimantan, khususnya menangani proses kelulusan eksport yang mengambil masa lama sehingga boleh menjejaskan kelancaran perdagangan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara, itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) petang tadi.
Menerusi hantaran di Facebook malam Selasa, beliau berkata, pertemuan itu turut menyentuh kepentingan memperkukuh kemudahan perdagangan melalui pintu sempadan rasmi bagi membantu pengusaha dan masyarakat di kedua-dua negara.
“Pertemuan ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama pertanian dan perdagangan agromakanan antara kedua-dua negara. Kami turut bertukar pandangan mengenai potensi eksport beras Indonesia ke Malaysia.
“Pada 2025, nilai perdagangan pertanian dua hala meningkat sebanyak 16 peratus kepada RM20.95 bilion berbanding RM18.06 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.
Mohamad berkata, perkembangan itu menunjukkan potensi besar kerjasama yang boleh terus diterokai, termasuk perdagangan beras berdasarkan keperluan pasaran, harga dan kualiti yang berdaya saing.
Beliau turut menegaskan, Malaysia dan Indonesia bukan sekadar negara berjiran yang berkongsi sejarah, bahasa dan budaya tetapi turut mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan bekalan makanan rakyat sentiasa terjamin.
“Insya-Allah, hubungan baik ini akan terus diperkukuh demi kesejahteraan petani, pengusaha agromakanan dan rakyat kedua-dua negara,” katanya.
-- BERNAMA