Pembayar cukai di negara ini dinasihatkan supaya segera memanfaatkan 'Program Tawaran Pengurangan Penalti dan Penghapusan Kenaikan Cukai' sebelum tempoh permohonan program berkenaan tamat pada 15 Dis depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata program itu, yang bermula 1 Mac lepas, merupakan satu daripada inisiatif dalam pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Jan lepas.

"Program ini menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela untuk melaporkan pendapatan tahun ke belakang dan menyelesaikan amaun tunggakan cukai mereka.

"Tawaran berkenaan diberikan kepada dua kategori iaitu penalti cukai dan kenaikan cukai," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan LHDN menyasarkan untuk meraih kutipan cukai lebih RM1 bilion tahun ini menerusi pengurangan penalti terhadap pembayar cukai.

Mohd Shukor berkata kategori di bawah penalti cukai merangkumi pembayar cukai yang masih belum mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BCNP) atau Borang Nyata Petroleum (BNP) tahun ke belakang, pembayar cukai yang telah mengemukakan BNCP atau BNP tetapi tidak melaporkan matlamat cukai pendapatan yang betul dan pelupus yang gagal melaporkan pelupusan harta tanah dalam tempoh yang ditetapkan.

Di bawah kategori sama, ia juga terbuka kepada pembayar duti yang gagal mengemukakan surat cara untuk disetemkan dalam tempoh ditetapkan dan pembayar cukai bagi kes audit dan kes siasatan cukai serta pembayar cukai bagi kes audit pindahan harga.

Bagi kategori penghapusan kenaikan cukai, ia melibatkan pembayar cukai yang membayar amaun tunggakan cukai pendapatan, cukai petroleum, cukai keuntungan harta tanah atau cukai pegangan sebelum atau pada 15 Dis depan.

Garis panduan mengenai tawaran berkenaan boleh dirujuk di portal rasmi LHDN atau menghubungi Meja Bantuan Pengurangan Penalti dan Penghapusan Kenaikan Cukai di talian 03-83138885 atau Hasil Careline di talian 1-800-88-5436 atau 03-89133800 sambungan 1220603 atau 120634 (kes Audit Pindahan Harga).