KUALA LUMPUR: MIDF Research menjangkakan IHH Healthcare Berhad tidak akan berdepan sebarang risiko besar berhubung cadangan pelupusan IMU Health Sdn. Bhd. dan Hospital IMU.

Firma itu berkata, kumpulan itu bagaimanapun tetap berwaspada dengan beberapa situasi yang mungkin berlaku termasuk kegagalan melengkapkan urus niaga berkenaan akibat tidak mendapat kelulusan selain pelaksanaan garis panduan pegangan ekuiti oleh Kementerian Kesihatan yang mungkin akan menyebabkan kelewatan.

Katanya, IHH Healthcare mungkin berhadapan risiko berkaitan kontrak dan kehilangan pendapatan daripada Hospital IMU.

"Selepas proses transaksi itu lengkap, Hospital IMU bersama anak-anak syarikatnya tidak lagi bernaung di bawah IHH Healthcare dan kumpulan itu akan menghentikan semua keputusan yang disatukan terhadap entiti itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Terdahulu, IHH Healthcare telah mencadangkan pelupusan IMU Health Sdn Bhd dan Hospital IMU untuk pertimbangan tunai permulaan sebanyak RM1.35 bilion.

Menerusi perjanjian penjualan saham bersyarat, kumpulan itu akan melupuskan 1.14 juta saham, keseluruhan kepentingan ekuiti dalam IMU Health kepada Inbound Education Holdings Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang dikawal oleh Hong Leong Healthcare Group Sdn. Bhd, The Rise Fund Inbound SF Pte. Ltd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

IHH akan memindahkan pemilikan Hospital IMU kepada syarikat induk yang baru diperbadankan untuk dijual kepada Columbia Asia Sdn Bhd.

Firma itu berkata, keputusan itu adalah selaras dengan strategi IHH untuk melepaskan aset bukan terasnya dan menggunakan hasil berkenaan untuk mengembangkan perniagaan perkhidmatan penyampaian penjagaan kesihatannya.

Proses transaksi itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 1QCY23.

Firma itu mengekalkan cadangan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM7.96.


* Artikel asal disiarkan di - DagangNews.com