Ringkasan AI
- DBKL diminta membentangkan amalan tadbir urus dan langkah mitigasi banjir kilat kepada Perdana Menteri sebagai persediaan Monsun Timur Laut dan Super El Niño.
- Usaha mitigasi telah mengurangkan hotspot banjir daripada 31 pada 2022 kepada 14 tahun ini, dengan sasaran 10 lokasi menjelang akhir tahun.
- DBKL memperuntukkan RM27 juta untuk pengurangan hotspot banjir, meningkatkan kekerapan penyelenggaraan, dan memperkukuh infrastruktur serta pemantauan bencana di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta membentangkan amalan tadbir urus dan langkah mitigasi banjir kilat di ibu negara kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) serta kemungkinan fenomena Super El Niño tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata usaha mitigasi sebelum ini berjaya mengurangkan lokasi hotspot banjir daripada 31 pada 2022 kepada 14 tahun ini dengan sasaran menurunkannya kepada 10 lokasi menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata setiap pejabat cawangan DBKL di kawasan Parlimen Kuala Lumpur diwajibkan menyalurkan laporan secara langsung kepada Datuk Bandar setiap kali hujan bagi membolehkan tindakan segera diselaraskan.
Usaha turut diperkukuh menerusi dua pasukan petugas yang memberikan tumpuan pada pembangunan kawasan lapang sebagai kawasan resapan air berkonsepkan bandar span (sponge city) serta mitigasi banjir.
“Di kawasan bandar, apabila banjir berlaku, kerosakan harta benda dan risiko terhadap nyawa adalah tinggi. Jadi semua usaha yang dilaksanakan merupakan usaha bersepadu dan berkala, bukan hanya apabila Monsun Timur Laut hampir tiba,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Beliau berkata sebanyak 4,162 anggota daripada pelbagai agensi di Wilayah Persekutuan turut bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana dengan sokongan 139 lori, 60 bot dan 144 kenderaan pacuan empat roda.
Persiapan itu turut merangkumi 120 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menempatkan sehingga 31,000 mangsa pada satu-satu masa.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud berkata DBKL memperuntukkan RM27 juta tahun depan bagi meneruskan usaha mengurangkan hotspot banjir kilat kepada 10 lokasi atau kurang.
Beliau berkata penyelenggaraan sistem perparitan, sungai dan kolam takungan kini dilaksanakan setiap tiga bulan berbanding dua kali setahun sebelum ini.
Bagi sepanjang musim monsun katanya kekerapan penyelenggaraan ditingkatkan kepada setiap dua bulan bagi memastikan mendapan dikeluarkan dan kapasiti aliran air dimaksimumkan.
Kerja penyelenggaraan itu disokong tujuh kontraktor bagi sistem perparitan dan 12 kontraktor bagi kolam takungan selain pengubahsuaian bukaan saliran di tepi jalan bagi mempercepat aliran air hujan ke sistem perparitan.
DBKL turut menyediakan pam berkuasa tinggi berkapasiti 180 kuasa kuda (HP) di 10 lokasi rendah bagi membantu mengalirkan air ke sungai.
Dari segi infrastruktur, sembilan Kolam Takungan Setempat (OSD) telah siap dibina manakala enam lagi sedang dalam pembinaan dan tambahan enam lagi dirancang pada 2027.
Lebih 65 OSD yang dibangunkan pihak swasta turut dipantau selain tembok penghadang banjir sepanjang 1.3 kilometer yang telah siap dibina.
Fadlun berkata DBKL turut mengaktifkan bilik gerakan di Dewan Wilayah Kuala Lumpur bagi memantau keadaan cuaca termasuk mendapatkan ramalan satu hingga dua jam lebih awal serta menyelaras tindakan dan menyalurkan maklumat awal kepada penduduk di kawasan berisiko banjir.
-- BERNAMA