Kerajaan perlu mengurangkan retorik dan sebaliknya meningkatkan implementasi serta pelaksanaan dasar sekiranya benar-benar ingin membantu golongan usahawan Bumiputera.

Begitulah pandangan Ketua Pegawai Eksekutif TaxiMonger, Nizran Noordin berkenaan polisi pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang bakal diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu.

Sebagai usahawan digital, beliau agak kecewa dengan tindakan agensi kerajaan yang sering mempromosikan syarikat pesaingnya yang bukan Bumiputera tanpa mengendahkan usahawan Bumiputera seperti dirinya.

Bercakap kepada Astro AWANI, beliau harap agar polisi yang bakal diumumkan Najib nanti bakal membuka peluang ekses pasaran kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

“Sebagai usahawan teknologi kami juga punyai pesaing yang bukan bumiputera,” kata Nizran.

Jelasnya, dengan mempromosikan syarikat-syarikat Bumiputera, ia bakal memberikan nilai kepada syarikat.

Katanya dengan nilai tambah yang ada, ia membolehkan usahawan sepertinya melabur ke perniagaan lain dan juga hartanah. Jesteru meningkatkan pemilikan hartanah terutama hartanag komersil oleh golongan Bumiputera.

“Contoh kalau saya dapat jual syarikat dengan harga RM50 juta, saya boleh melabur separuh daripadanya kepada hartanah dan bisnes-bisnes lain,” katanya.

Menurutnya, jika kaum Melayu dan Bumiputera sering dipinggirkan dan bantuan sering diberikan kepada usahawan berpengaruh sahaja, katanya pengumuman itu nanti akan jadi semata-mata retorik sahaja.

Selain itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mengambil pendirian teguh dengan melatih 100 hingga 1000 usahawan Bumiputera yang berkualiti untuk dilatih menjadi lebih berjaya.

Nizran juga mencadangkan agar golongan usahawan yang berkualiti itu dipanggil untuk berbincang cara mencapai tahap ekuiti yang disasarkan.

“Melayu perlukan ekses kepada pasaran... tak perlukan geran. Buka ekses kepada pasaran tersebut secara terbuka.

“Melayu kena kuasai pasaran tempatan. Pasaran tempatan yang akan tambah nilai syarikat tersebut, barulah ekuiti akan naik,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NetCarbon, Mohd Rashdan Ramlee berpendapat bahawa antara cabaran besar usahawan Bumiputera dalam industri digital dan kreativiti ialah mereka perlu bersaing dengan syarikat-syarikat global.

Menurutnya, mereka bukan sahaja perlu bersaing sesama Bumiputera, malah mereka juga perlu bersaing dengan ushawan bukan Bumiputera dan juga studio-studio yang sudah terkenal seperti Disney dan Pixar.

Seperti Nizran, beliau juga mahukan implementasi ditingkatkan dalam dasar yang bakal diumumkan oleh Najib nanti.

Kata Mohd Rashdan bukan mudah untuk membina syarikat digital kerana mereka perlu bermula dari modal serta tenaga kerja yang kecil.

Tidak ramai Bumiputera yang telah berjaya sanggup turun untuk member tunjuk ajar kepada ushawan Bumiputera yang baharu.

Namun, katanya mentaliti tersebut perlu diubah dan pengusaha Bumiputera perlu bergabung untuk mewujudkan satu ekosistem perniagaan seperti yang dibuat oleh orang bukan Bumiputera.

Mohd Rashdan berkata demikian dalam satu sesi temubual program Analisis Awani yang bertajuk ‘Daya saing Bumiputera dalam ekonomi digital’