Ringkasan AI
- Telekom Malaysia (TM) memperkukuh kedudukan dalam industri pusat data melalui pelaburan strategik, kerjasama dan pembangunan infrastruktur mampan untuk memenuhi permintaan digital dan AI.
- TM memperluas kapasiti pusat data daripada 20MW kepada 200MW, termasuk usaha sama dengan Singtel bagi TM Nxera Data Centre di Johor yang dijangka siap fasa awal akhir tahun ini.
- TM menekankan kelestarian dengan penggunaan tenaga boleh baharu, sistem penyejukan canggih, pensijilan hijau dan sistem penuaian air hujan di pusat datanya.
KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia (TM) terus memperkukuh kedudukannya dalam industri pusat data menerusi pelaburan strategik, kerjasama dan pembangunan infrastruktur mampan, seiring peningkatan permintaan terhadap kesalinghubungan digital dan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata syarikat itu menceburi perniagaan pusat data seawal 2017, sekali gus meletakkan TM antara perintis dalam pembangunan kemudahan pusat data berskala besar di Johor.
Beliau berkata ketika itu, kapasiti antara lima hingga 10 megawatt (MW) dianggap besar, berbanding keperluan industri masa kini yang menyaksikan kapasiti sedemikian hanya mewakili sebahagian kecil daripada sebuah pusat data moden.
"Pelaburan awal TM didorong strategi untuk memperkukuh infrastruktur teras serta meningkatkan penggunaan perkhidmatan kesalinghubungannya, dengan pusat data dikenal pasti sebagai pemacu utama pertumbuhan.
"Di situlah kami melabur dalam pusat data di Johor. Selepas itu, kami membangunkan pusat data dwi-teras pertama di Malaysia, diikuti sebuah lagi kemudahan di Lembah Klang, sekali gus mewujudkan infrastruktur pusat data dwi-teras yang beroperasi secara selari di negara ini," katanya dalam program CEO Spotlight, pada Rabu.
Jelas Huzaimi, TM menetapkan kriteria pelaburan yang ketat bagi pembangunan pusat datanya, termasuk sasaran pulangan pelaburan serta memastikan kemudahan mencapai kadar penghunian yang tinggi sebaik sahaja mula beroperasi.
Beliau berkata strategi itu membuahkan hasil positif apabila peningkatan kapasiti pusat data TM di Johor dan Lembah Klang mendapat sambutan penuh, malah kapasiti berkenaan telah ditempah sepenuhnya sebelum kemudahan itu siap.
Sejak itu, kumpulan berkenaan memperluas kapasiti pembangunannya daripada pusat data berkapasiti 20MW kepada kemudahan berskala 200MW, disokong kerjasama strategik bagi mempercepatkan aspirasi pertumbuhannya.
Antaranya termasuk usaha sama dengan Singtel menerusi TM Nxera Data Centre di Johor, yang fasa awalnya dijangka siap menjelang akhir tahun ini, manakala blok pertama berkapasiti 64MW dijadualkan siap pada suku kedua tahun depan.
Menyentuh aspek kelestarian, Huzaimi berkata TM mengambil kira kesan operasi pusat data terhadap komuniti setempat dan alam sekitar, dengan keperluan hijau diterapkan sejak peringkat reka bentuk dan perancangan.
Beliau berkata pusat data TM direka untuk mencapai Keberkesanan Penggunaan Kuasa (PUE) yang optimum, dengan TM Nexara secara khusus menyasarkan bacaan PUE di bawah 1.3.
Kemudahan itu turut dilengkapi sistem penyejukan canggih termasuk teknologi penyejukan cecair bagi memenuhi keperluan kuasa dan penyejukan berkaitan AI pada masa depan, khususnya bagi unit pemprosesan grafik (GPU) berkuasa tinggi.
Tambahnya, TM turut menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih meluas di pusat datanya menerusi kerjasama dengan penyedia tenaga solar, selain bekalan elektrik daripada grid nasional.
"Langkah ini dapat membantu mengurangkan sebahagian permintaan terhadap grid selain memastikan kami memperoleh tenaga hijau bagi menyokong operasi pusat data," katanya.
Beliau berkata pusat data TM, termasuk TM Nxera, telah memperoleh pensijilan hijau, manakala kumpulan itu terus bekerjasama dengan rakan strategiknya untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memperkukuh agenda kelestarian.
Selain itu, TM sedang melaksanakan sistem penuaian air hujan di seluruh pusat datanya bagi mengoptimumkan penggunaan air, selain mengambil langkah meningkatkan kecekapan tenaga.