Skip to main content

Malaysia

Op Murni: 4,000 pegawai, anggota tentera siap siaga hadapi MTL - PTD

Azhan (tiga, kanan) bersama sebahagian daripada 10 Panglima Tentera Darat ASEAN kecuali Timor-Leste hadir pada Majlis Perasmian Penutup 34th AARM 2026 di Lapang Sasar Kem Terendak, hari ini. - Gambar Bernama
Azhan (tiga, kanan) bersama sebahagian daripada 10 Panglima Tentera Darat ASEAN kecuali Timor-Leste hadir pada Majlis Perasmian Penutup 34th AARM 2026 di Lapang Sasar Kem Terendak, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

MELAKA: Sebanyak 4,000 pegawai dan anggota tentera kini dalam keadaan siap siaga bagi membantu operasi banjir menerusi Op Murni pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman.

Beliau berkata sebagai peneraju utama operasi berkenaan, Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa bersedia bagi membantu operasi menyelamat dan penyaluran bantuan kepada mangsa bencana, khususnya ketika musim tengkujuh.

“Secara amnya kita memang bersedia dan Op Murni ini bukan hanya berlaku waktu musim tengkujuh, malah TDM sentiasa dalam keadaan bersedia sepanjang tahun.

Advertisement

“Adakalanya di tengah-tengah tahun pun berlaku banjir dan kita juga bersedia untuk melibatkan pasukan di lapangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan acara penutup The 34th ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) 2026 di lapang sasar Kem Terendak di sini hari ini.

Azhan berkata kesiapsiagaan itu turut mendapat sokongan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memastikan bantuan dapat disalurkan mengikut keperluan di lapangan.

Advertisement

Beliau berkata tahap kesiapsiagaan turut dipertingkat menjelang penghujung tahun dengan penumpuan lebih rapi terhadap kawasan yang dikenal pasti berisiko mengalami banjir, termasuk di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Azhan berkata TDM turut memantau perkembangan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi memastikan pasukan sentiasa bersedia digerakkan mengikut keperluan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Mengulas situasi banjir di Perak, beliau berkata TDM telah menempatkan pasukan di kawasan terjejas dan sedang meneliti keperluan bantuan menerusi penugasan pegawai perhubungan bagi mengenal pasti kumpulan yang memerlukan bantuan serta bentuk bantuan yang perlu disalurkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement