KUALA LUMPUR: Pendapatan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021) meningkat 19.7% kepada RM52.63 bilion berbanding RM43.98 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Kenaikan itu terutamanya disebabkan jumlah jualan elektrik yang lebih tinggi sebanyak RM8.35 bilion, meningkat 19.3% daripada RM43.2 bilion bagi tempoh sama 2020, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia pada Khamis.

Termasuk di dalam jualan elektrik yang lebih tinggi ini ialah Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang berada dalam kedudukan kurang pulih sebanyak RM4.51 bilion berbanding kedudukan lebih pulih sebanyak RM3.03 bilion bagi tempoh sama tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh harga bahan api yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 yang berpanjangan telah menjejaskan tingkah laku pembayaran pelanggan kerana hutang tertunggak yang lama semakin sukar untuk kembali pulih.

Namun begitu, kerugian bersih yang lebih tinggi daripada rosot nilai instrumen kewangan sebanyak RM940.2 juta telah diiktiraf pada tahun semasa.

Hasil keuntungan operasi ialah peningkatan bersih sebanyak RM724.2 juta atau 9.8%, meningkat kepada RM8.08 bilion daripada RM7.36 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi FY2021 itu, keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM3.86 bilion berbanding RM3.62 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini disebabkan keuntungan operasi yang lebih tinggi beserta peningkatan bahagian keputusan syarikat bersekutu dan keuntungan perakaunan ke atas nilai saksama instrumen kewangan, diimbangi oleh kerugian tukaran asing yang lebih tinggi dan perbelanjaan cukai yang diiktiraf pada tahun semasa.

Untuk perniagaan terkawal, kumpulan dapat mengekalkan pulangan yang diluluskan ke atas perniagaan terkawal di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) sebanyak RM4.77 bilion.

Sementara itu, pendapatan bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 meningkat 52.4% kepada kepada RM15.73 bilion berbanding RM10.32 bilion bagi tempoh sama 2020.

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai bagi suku berkenaan susut 17.4% kepada RM992.5 juta daripada RM1.2 bilion terutamanya disebabkan kadar tukaran asing yang tidak menguntungkan dan perbelanjaan cukai diiktiraf yang lebih tinggi pada suku dikaji.

Mengenai prospek kumpulan, TNB berkata, ekonomi dijangka mengekalkan momentum pemulihan disokong pengembangan berterusan bagi permintaan global dan domestik.

Katanya, dengan pelaksanaan RP3 berkuat kuasa mulai 1 Februari 2022, kumpulan menjangkakan prestasi yang munasabah bagi 2022 di samping kekal berhati-hati dengan harga bahan api yang tinggi dan prospek ekonomi mencabar.

"Oleh itu, kumpulan akan terus mengambil langkah berhemat dari segi keperluan operasi dan kewangannya untuk memastikan ia kekal berdaya tahan," tambahnya. - DagangNews.com