KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) merekodkan kerugian bersih sebanyak RM168.24 juta pada suku pertama berakhir 30 November 2022 berbanding keuntungan bersih RM185.72 juta pada suku pertama 2022 apabila volum jualannya berkurangan kira-kira 48 peratus tahun ke tahun disebabkan pelbagai cabaran.

Hasilnya juga merosot kepada RM632.53 juta daripada RM1.61 bilion sebelumnya.

"Prestasi kewangan yang kurang baik kerana ketidakseimbangan bekalan dan permintaan sarung tangan yang berlanjutan menyaksikan pelanggan menangguhkan aktiviti penyimpanan semula kerana mereka terus menghabiskan inventori sarung tangan sedia ada serta tidak membuat pesanan dengan segera berdasarkan kapasiti pengeluaran berlebihan dalam industri sarung tangan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Selain itu, kumpulan itu terpaksa menghadapi persaingan yang semakin sengit terutamanya daripada pengeluar sarung tangan serantau menjadikan permintaan terhadap sarung tangan berkurangan.

"Kami beroperasi dalam persekitaran cabaran yang melanda industri sejak enam bulan lepas, ia sudah pun dijangka akan berlaku apabila proses normalisasi akan memulihkan industri berkenaan kelak.

"Bagi mengharungi tempoh yang mencabar ini, keutamaan utama kami ialah memastikan kami beroperasi dengan cekap memandangkan penggunaan kapasiti yang lebih rendah, mengekalkan pengurusan kos yang berdisiplin dan menjimatkan wang tunai," kata Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan.

Sementara itu, kumpulan itu menjangkakan memperoleh beberapa faedah daripada trend penurunan harga bahan mentah, purata harga pekat lateks asli telah merosot sebanyak tujuh peratus kepada RM4.73 sekilogram dan harga lateks nitril telah menurun sebanyak 49 peratus kepada US$0.91 (US$1=RM4.40) setiap kilogram tahun ke tahun.

Top Glove yakin prospek jangka panjang bagi industri sarung tangan kekal positif kerana permintaan sarung tangan terus berkembang sebanyak 10 peratus setiap tahun, dirangsang oleh peningkatan penggunaan sarung tangan dan kesedaran terhadap kebersihan pasca pandemik.

Bagaimanapun, ia menjangkakan persekitaran semasa yang mencabar akan berlanjutan sehingga tahun 2023.
- BERNAMA