KUALA LUMPUR:
Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang ingin memulakan transformasi digital tidak seharusnya terus memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi paling canggih, sebaliknya perlu bermula dengan mengenal pasti keperluan sebenar perniagaan.
Naib Presiden Unifi Business, Dr. Mohamad Yusman Ammeran berkata, masih ramai usahawan beranggapan transformasi digital memerlukan pelaburan besar dan sistem yang kompleks, sedangkan langkah pertama ialah membina asas digital yang kukuh.
"Transformasi digital bukan sekadar teknologi canggih. Ia bermula dengan memahami cabaran yang dihadapi perniagaan dan memilih penyelesaian yang mampu memberi impak kepada operasi," katanya dalam program Niaga AWANI pada Rabu.
Menurut beliau, antara langkah awal yang boleh diambil PMKS ialah menggunakan platform e-dagang, pembayaran digital, storan awan (cloud storage), sistem pengurusan hubungan pelanggan (CRM) serta pemasaran digital bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Beliau berkata, ketersambungan internet yang stabil juga menjadi asas penting kepada pelaksanaan transformasi digital kerana ia membolehkan operasi berjalan lebih lancar, selain memudahkan interaksi dengan pelanggan dan penerokaan pasaran baharu.
Dalam masa sama, Dr Mohamad Yusman mengakui terdapat beberapa cabaran utama yang masih menghalang PMKS daripada melaksanakan pendigitalan secara menyeluruh.
Antaranya ialah persepsi bahawa teknologi memerlukan kos yang tinggi, kekurangan kemahiran digital, ketiadaan strategi digital yang jelas serta kurang kesedaran mengenai bantuan dan insentif yang disediakan kerajaan.
"Ramai yang hanya menggunakan Facebook atau WhatsApp Business tanpa mengintegrasikan sistem perniagaan secara menyeluruh," katanya.
Mengulas mengenai kisah dua usahawan yang diketengahkan dalam program sama iaitu pengasas TOMAZ, Thomas Teoh dan pengasas Hakak Maneh, Balqis Mohd Soib, beliau berkata kejayaan mereka membuktikan tradisi dan inovasi mampu bergerak seiring.
(Ikuti temu bual Niaga AWANI yang memfokuskan transformasi digital melibatkan perniagaan berteraskan warisan, tradisi dan seni)
Menurut beliau, persamaan yang dikongsi kedua-dua perniagaan ialah keupayaan memahami keperluan pelanggan, mengekalkan identiti jenama serta memanfaatkan teknologi sebagai pemudah cara untuk berkembang.
"PMKS yang berjaya bukan bergantung kepada saiz perniagaan semata-mata, tetapi keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan dan menggunakan teknologi secara strategik," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa teknologi tidak seharusnya dilihat sebagai faktor yang mengubah identiti sesuatu jenama.
Sebaliknya, Dr Mohamad Yusman berkata, teknologi membantu meningkatkan kecekapan operasi, mengeratkan hubungan dengan pelanggan dan membuka peluang pasaran yang lebih luas tanpa mengorbankan nilai serta keunikan sesebuah perniagaan.
Sebagai nasihat kepada PMKS yang masih belum memulakan perjalanan digital mereka, beliau menggesa usahawan supaya mengambil langkah pertama dengan menilai titik kelemahan operasi, memilih penyelesaian digital yang bersesuaian serta mendapatkan sokongan daripada ekosistem yang tersedia.
"Transformasi digital bukan tentang menggunakan teknologi paling canggih, tetapi memilih teknologi yang benar-benar memberi impak kepada perniagaan," katanya.