Skip to main content

Politik

PRN Melaka: 30 peratus calon wanita PKR tawar pilihan lebih inklusif - Fadhlina

PKR menampilkan 30 peratus calon wanita pada PRN Melaka sebagai strategi memperkukuh representasi wanita dalam politik negeri. - Foto Bernama
PKR menampilkan 30 peratus calon wanita pada PRN Melaka sebagai strategi memperkukuh representasi wanita dalam politik negeri. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • PKR menampilkan tiga calon wanita daripada sembilan kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16, bersamaan 33.3 peratus.
  • Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek, menyatakan langkah ini sebagai usaha memartabatkan wanita dan menawarkan pilihan lebih inklusif kepada pengundi.
  • SPR menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November pengundian awal, dan 14 November hari pengundian PRN Melaka ke-16.

NIBONG TEBAL: Penampilan 30 peratus calon wanita oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dilihat sebagai antara strategi parti itu menawarkan pilihan lebih inklusif kepada pengundi.

Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah mengetengahkan lebih ramai calon wanita memberi pilihan kepada rakyat dalam menentukan wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

"Saya fikir itu juga satu tawaran yang baik untuk rakyat membuat pilihan, khususnya dalam usaha kami untuk terus memartabatkan wanita sebagai calon DUN Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia peringkat Parlimen Nibong Tebal, di sini pada Ahad, lapor Bernama.

Berdasarkan senarai calon yang diumumkan pada semalam, PKR mempertaruhkan tiga calon wanita daripada sembilan kerusi yang ditandingi pada PRN Melaka kali ini.

Mereka ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin yang kembali bertanding di kerusi berkenaan.

Dua lagi ialah Farzana Hayani Mohd Nasir yang dicalonkan di DUN Kelebang dan Esma Eazreen Husin yang bakal bertanding di DUN Rim.

Secara keseluruhan, tiga daripada sembilan calon PKR merupakan wanita, bersamaan 33.3 peratus daripada jumlah calon parti itu yang telah diumumkan.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, dari sudut gerak kerja menghadapi PRN berkenaan, PKR kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dan akan bergerak sebagai satu pasukan.

Beliau berkata, PH juga telah melancarkan slogan "Melaka Rumah Kita" sebagai sebahagian daripada pendekatan gabungan itu dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.

Pada Sabtu, Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 21 calon bagi menghadapi PRN Melaka bulan depan.

Daripada jumlah itu, PKR akan bertanding di sembilan kerusi, DAP tujuh kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) lima kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16.

 

Must Watch Video

Advertisement