Skip to main content

Bisnes

U Mobile capai 90 peratus liputan 5G, sembilan bulan lebih awal - Fahmi

Fahmi berkata pencapaian ini menjadi permulaan kepada fasa seterusnya yang memberi tumpuan kepada pemanfaatan teknologi oleh industri. - Gambar fail/Bernama
Fahmi berkata pencapaian ini menjadi permulaan kepada fasa seterusnya yang memberi tumpuan kepada pemanfaatan teknologi oleh industri. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: U Mobile mencapai 90 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk (CoPA) di seluruh negara, sembilan bulan lebih awal daripada sasaran Julai 2027, sekali gus melengkapkan komitmen liputan rangkaian 5G kedua Malaysia.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pencapaian itu bukan noktah kepada pembangunan infrastruktur digital negara, sebaliknya menjadi permulaan kepada fasa seterusnya yang memberi tumpuan kepada pemanfaatan teknologi oleh industri.

Menurutnya, kemajuan infrastruktur digital perlu disusuli dengan usaha menggalakkan lebih banyak syarikat menggunakan penyelesaian berasaskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT), yang mampu memberikan kelebihan kepada perniagaan.

“Kita bukan hanya bercakap tentang AI atau IoT.

“Ia juga mengenai pemahaman bahawa melalui penggunaan infrastruktur bertaraf dunia ini, perniagaan akan memperoleh kelebihan dan daya saing.

“Kita akan mula melihat proses perniagaan menjadi jauh lebih berdaya tahan dari segi keselamatan, selain lebih produktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media U Mobile capai 90 peratus liputan 5G di seluruh negara, sembilan bulan lebih awal daripada jadual, di ibu negara, pada Selasa.

Fahmi berkata, cabaran seterusnya bagi pengendali rangkaian mudah alih (MNO) termasuk U Mobile adalah untuk memperluas penglibatan industri serta menggalakkan lebih banyak syarikat memanfaatkan infrastruktur dan teknologi yang tersedia.

Beliau turut menyambut baik komitmen U Mobile untuk memperluas kehadiran serta akses rangkaiannya, selain berharap semua MNO terus memainkan peranan dalam menangani jurang kesalinghubungan yang masih wujud di sesetengah kawasan.

“Ya, kita mempunyai 5G. Ya, kita telah mencapai 90 peratus liputan kawasan berpenduduk dengan rangkaian kedua.

“Namun, masih terdapat beberapa kawasan di negara ini yang memerlukan penambahbaikan dari segi kualiti perkhidmatan dan akses yang disediakan oleh MNO secara keseluruhannya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata liputan kawasan berpenduduk oleh kebanyakan MNO menunjukkan kemajuan ketara dalam tempoh setahun lalu dengan kebanyakan negeri kini mencatatkan liputan antara 90 hingga 95 peratus merentasi pelbagai pengendali.

Beliau turut menggalakkan MNO menjalinkan kerjasama lebih awal dan lebih mendalam dengan institusi pengajian tinggi bagi memanfaatkan universiti sebagai ruang untuk mengembangkan idea serta inovasi teknologi.

Katanya, corak penggunaan data dalam kalangan pelajar universiti telah berubah dengan ketara berbanding lima hingga 10 tahun lalu, sekali gus mewujudkan peluang kepada MNO untuk memahami keperluan generasi pengguna baharu.

“Gunakan universiti sebagai ruang untuk mengembangkan idea, termasuk bagi sebahagian daripada inovasi anda.

“Melalui pelaburan dan penglibatan dengan fakulti berbeza, sama ada kejuruteraan atau bidang lain, kita sebenarnya dapat membentuk generasi baharu yang bakal memasuki alam pekerjaan.

“Mereka akan membawa kesedaran bahawa majikan pada masa hadapan juga perlu menggunakan teknologi yang telah mereka saksikan dan alami ketika berada di universiti,” ujarnya.

Fahmi berkata kerajaan akan terus menjadi rakan kepada sektor telekomunikasi Malaysia dalam mendepani perkembangan teknologi baharu, termasuk AI, penyulitan kuantum dan teknologi pascakuantum.

Beliau berkata kerjasama berterusan antara kerajaan, pengendali rangkaian, industri dan institusi pendidikan amat penting bagi memastikan kemajuan infrastruktur digital diterjemahkan kepada manfaat yang lebih besar kepada rakyat serta ekonomi negara.

“Saya percaya kita mempunyai lebih banyak untuk dipelajari antara satu sama lain dan bersama-sama kita boleh membina Malaysia yang lebih baik untuk semua,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement