Ringkasan AI
- Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghargai parti-parti politik yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13, khususnya rakan Kerajaan Perpaduan.
- Beliau menegaskan tindakan itu membantu mengekalkan kestabilan politik, yang penting untuk kesinambungan pembangunan di Sarawak.
- Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN Sarawak ke-13.
KUCHING: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan penghargaan kepada parti-parti politik yang mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, khususnya parti yang merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, langkah berkenaan turut mencerminkan usaha mengekalkan kestabilan politik yang sekian lama menjadi antara asas kepada kesinambungan pembangunan Sarawak.
“Yang kedua saya mengucap terima kasih kepada parti-parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya ini khasnya rakan kita dalam gabungan kerajaan perpaduan iaitu BN (Barisan Nasional), PN (Perikatan Nasional, Amanah dan PKR. Saya ucap terima kasih,” katanya pada sidang media pengumuman calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching pada Rabu.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, kestabilan politik negeri itu penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan, selain memberi ruang kepada rakyat untuk menentukan hala tuju Sarawak pada masa hadapan.
“Ketiga kita mengekalkan kestabilan politik yang ada di Sarawak dan kita serah kepada rakyat untuk meneruskan usaha kita memajukan Sarawak sebagai wilayah yang maju dan makmur,” tambahnya.
Penghargaan itu dibuat menjelang PRN Sarawak ke-13 yang menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan merebut kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).