BUSINESS
Ulang tahun ke-15, Porsche Malaysia lancar model baharu 911 Carrera dan Carrera 4 GTS

Datuk Jeffri Salim bersama Sime Darby Auto Performance melancarkan generasi terbaharu kereta sukan ikonik, 911 Carrera dan Carrera 4 GTS pada Khamis di The Exchange TRX. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Porsche Malaysia meraikan ulang tahun ke-15 legasi kereta sukan ikoniknya dengan pelancaran generasi terbaharu 911 Carrera dan Carrera 4 GTS pada Khamis.
Syarikat kenderaan yang diwakili Sime Darby Auto Performance itu menghasilkan kenderaan bertema Accelerating Dreams yang diinspirasikan daripada dunia perlumbaan motor.
Kedua -dua kenderaan ini menumpukan sistem T-Hybrid yang ringan dan berkuasa ini mempunyai pengecas turbo elektrik yang dibangunkan secara baharu. Sebuah motor elektrik yang terintegrasi, diletakkan di antara pemampat dan roda turbin, segera membawa pengecas turbo kepada kelajuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pasukan Porsche di Malaysia menegaskan komitmen mereka untuk menyampaikan standard bertaraf dunia dengan mencipta pengalaman pelanggan yang bermakna, sambil membentuk masa depan e-mobiliti."Ini adalah detik yang membanggakan bagi kami di Sime, terima kasih kepada kepercayaan dan sokongan berterusan daripada rakan kongsi lama kami, Porsche. Kami telah mewakili jenama ini di Malaysia selama 15 tahun kini, dan ia merupakan perjalanan yang amat luar biasa.
"Kami telah mencapai pelbagai pencapaian dan membuka peluang bersama – bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh ASEAN," katanya.
Dalam pada itu, 911 Carrera 4 GTS menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih dinamik dan cekap tenaga. Kedua-dua model 911 kini boleh ditempah di pasaran tempatan dengan harga bermula dari RM1.43 juta hingga RM1.89 juta.
Selain meraikan kejayaan yang telah dicapai, Porsche Malaysia terus menekankan komitmennya untuk merealisasikan impian peminat dan meneroka masa depan mobiliti berprestasi tinggi, termasuk dalam pengembangan teknologi elektrik dan hibrid.
Sambutan ini akan berlangsung dari 11 hingga 13 April 2025 di Central Exchange, The Exchange TRX, di ibu negara yang menampilkan pameran model-model utama seperti 911, Cayenne, Taycan dan Macan.
Model baharu 911 Carrera dan Cayenne S E-Hybrid Coupé yang dipasang di Malaysia turut dipamerkan sebagai sebahagian daripada sambutan tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami