Skip to main content

Dunia

Thailand terima 25.46 juta pelancong asing dalam tempoh 10 bulan pertama

Thailand menerima 25.46 juta pelancong asing bagi tempoh 10 bulan pertama 2026, mencatatkan penurunan sebanyak 4.59 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. - Foto fail/AP
Thailand menerima 25.46 juta pelancong asing bagi tempoh 10 bulan pertama 2026, mencatatkan penurunan sebanyak 4.59 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. - Foto fail/AP
Advertisement

BANGKOK: Thailand menerima 25.46 juta pelancong asing bagi tempoh 10 bulan pertama 2026, mencatatkan penurunan sebanyak 4.59 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut Menteri Pelancongan dan Sukan Surasak Phancharoenworakul.

"Antara 1 Jan hingga 31 Okt, Thailand telah menerima ketibaan sejumlah 25,464,306 pelancong asing, menjana 1.241 trilion baht (100 baht = RM12.05) hasil pelancongan menerusi perbelanjaan pelawat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Statistik kementerian menunjukkan China kekal sebagai pasaran sumber utama dari segi ketibaan kumulatif dalam tempoh itu dengan 4.24 juta pelancong, diikuti Malaysia (3.23 juta), India (1.92 juta), Rusia (1.41 juta) dan Korea Selatan (932,066).

Advertisement

Surasak berkata Thailand merekodkan 538,661 pelancong asing sepanjang minggu dari 25 hingga 31 Okt, peningkatan sebanyak 36,696 orang atau 7.31 peratus berbanding minggu sebelumnya, dengan purata 76,952 pelawat sehari.

Beliau berkata ketibaan pelancong terutamanya dari pasaran jarak jauh dijangka meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang susulan bermulanya  cuti musim sejuk.

Advertisement

Bagaimanapun, Surasak berkata pihak berkuasa akan terus memantau pelbagai perkembangan termasuk siri demonstrasi bantahan di Eropah serta pengurangan penerbangan bagi laluan tertentu, khususnya dari Rusia, yang berpotensi menjejaskan ketibaan pelancong.

Thailand menyasarkan 33 juta ketibaan antarabangsa pada 2026, selepas merekodkan lebih 35 juta pelawat asing pada 2025.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement