SIBU: Kejayaan transformasi digital sekolah perlu diukur melalui peningkatan mutu pengajaran, pembelajaran dan peluang untuk murid, bukannya jumlah peranti dimiliki.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata perubahan itu memerlukan kepimpinan sekolah yang mempunyai hala tuju jelas serta kesediaan membimbing guru mengintegrasikan teknologi dalam pembelajaran harian.
“Transformasi digital bukan sekadar membeli komputer, memasang skrin pintar atau memperkenalkan aplikasi baharu. Ia bermula dengan kepimpinan, hala tuju jelas dan kesediaan menyesuaikan diri.
“Matlamat kita tidak seharusnya terbatas kepada melahirkan murid yang boleh menggunakan teknologi. Kita juga perlu menggalakkan mereka berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah serta menggunakan teknologi untuk menghasilkan idea dan penyelesaian baharu,” katanya pada majlis perasmian Simposium Kepimpinan Digital Sarawak 2026 di sini, pada Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.
Sagah turut menggalakkan setiap peserta mengenal pasti sekurang-kurangnya satu inisiatif digital praktikal untuk diperkenalkan atau ditambah baik di sekolah masing-masing selepas simposium itu.
Beliau berkata usaha itu tidak semestinya memerlukan pelaburan besar, sebaliknya bergantung pada kejelasan matlamat dan kesediaan pemimpin sekolah mengambil langkah praktikal.
-- BERNAMA