KUALA LUMPUR: Nexgram Holdings Bhd (Nexgram), melalui anak syarikat milik penuh Medic Asset Group Sdn Bhd (MAGSB), menandatangani perjanjian bersyarat bagi memperoleh keseluruhan hak pengurusan untuk tanah seluas 16,900 meter persegi di Langkawi bersama-sama dengan sebuah hotel pada harga RM22.5 juta.

Vendor, Wings By Croske Resort Langkawi Sdn Bhd (Wings), akan dibayar melalui terbitan 250,000 saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) dalam MAGSB pada harga terbitan RM90 sesaham, kata Nexgram dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Kumpulan perdagangan peralatan, logistik dan penjagaan kesihatan mengatakan terdapat aturan pembahagian keuntungan di antara MAGSB (25 peratus) dan Wings (75 peratus) daripada keuntungan bersih bulanan yang dijana melalui perniagaan Century One Helang Hotel Langkawi yang memiliki 218 bilik.

"Disebabkan Wings dilantik sebagai pengusaha hotel untuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023, pihak pengurusan memutuskan untuk menyelesaikan pemerolehan perniagaan terlebih dahulu bagi merealisasikan pelaburan itu, sementara menunggu syarat-syarat tertentu yang akan dilengkapkan untuk pertimbangan selanjutnya," kata Nexgram.

Dua hari sebelum itu, pada 8 Mac, MAGSB, Wings dan pemegang saham Wings memeterai perjanjian untuk sama-sama menamatkan perjanjian penjualan saham bersyarat (CSSA) yang lebih awal bagi cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Wings pada harga RM90 juta oleh MAGSB.

Penamatan itu dikaitkan dengan syarat tertentu yang tidak dapat dipenuhi oleh pihak masing-masing dalam tempoh 12 bulan dari tarikh CSSA, kata Nexgram.

-- BERNAMA