GERGASI minyak dan gas Arab Saudi, Aramco mengumumkan keuntungannya pada 2020 jatuh hampir separuh kepada ASD49 bilion.

Ini berbanding lebih ASD88 bilion yang dicatatkan pada 2019.

Kejatuhan untung ini susulan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada permintaan minyak global.

Dalam kenyataannya pada Ahad, Aramco mengumumkan untung jatuh 44 peratus.

Namun, ia tetap akan memberikan dividen sukuan sebanyak ASD18.75 bilion selari komitmen yang dibuat syarikat itu pada penawaran awam permulaan.

Ini bersamaan dengan ASD75 bilion setahun.

Aramco dilapor mempunyai aliran tunai bebas ASD49 bilion.


Dalam masa yang sama, syarikat berkenaan akan turut mengurangkan perbelanjaan modal berbanding unjuran sebelum ini kepada ASD35 bilion.

Ketika ini, harga minyak dilapor mengukuh susulan peningkatan proses vaksinasi.

Ini akan meningkatkan aktiviti ekonomi dan mengurangkan sekatan.

Namun, penganalisis pasaran menjangkakan, permintaan masih akan mengambil masa untuk pulih ke tempoh sebelum COVID-19.

Arab Saudi banyak bergantung kepada hasil eksport minyak untuk membiayai perbelanjaan kerajaan biarpun usaha ditingkatkan untuk mencari sumber lain.

Bergerak ke hadapan, ia menjangkakan permintaan akan meningkat pada 2021 dengan permintaan China hampiri paras pra pandemik.