Ringkasan AI
- Menteri Pertahanan Australia Richard Marles menolak kebimbangan bahawa perjanjian AUKUS akan melemahkan kapasiti Tentera Laut Amerika Syarikat.
- Laporan Pejabat Belanjawan Kongres AS menyatakan pembekalan kapal selam nuklear kepada Australia menambah beban kepada limbungan kapal AS.
- Marles juga tidak mengambil serius amaran Presiden AS Donald Trump mengenai syarikat AI Amerika membina pusat data di luar negara.
ISLAMABAD: Menteri Pertahanan Australia Richard Marles pada Ahad menyangkal kebimbangan bahawa Perjanjian Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) untuk membekalkan kapal selam berkuasa nuklear kepada Canberra akan melemahkan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh bertahun-tahun akan datang, lapor Anadolu Ajansi.
Kenyataan beliau dibuat susulan amaran Pejabat Belanjawan Kongres AS bahawa perjanjian AUKUS berpotensi memberi tekanan tambahan terhadap kapasiti pengeluaran kapal selam negara itu, lapor Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).
Dalam laporan yang dikeluarkan pada Jumaat, pejabat belanjawan itu menyatakan pembekalan kapal selam berkuasa nuklear kepada Australia akan menambah beban kepada limbungan kapal AS yang sedia berdepan cabaran pengeluaran.
"Peningkatan pengeluaran selanjutnya bagi menggantikan kapal selam serangan berkuasa nuklear (SSN) yang dijual kepada Australia akan menambah cabaran yang sedang dihadapi Tentera Laut AS dan limbungan kapal," menurut laporan berkenaan.
Marles menepis kebimbangan yang dibangkitkan menerusi dapatan itu dan menjangkakan laporan seumpamanya akan terus muncul sepanjang dekad akan datang.
"Sebab ia tidak membimbangkan saya adalah kerana AUKUS sememangnya sedang dilaksanakan," katanya.
Di bawah perkongsian keselamatan AUKUS yang dimeterai pada 2021, Australia, AS dan United Kingdom (UK) bekerjasama membangunkan kapal selam berkuasa nuklear untuk Tentera Laut Diraja Australia.
Ketiga-tiga negara berkenaan telah memperuntukkan dana yang besar bagi menjayakan projek itu.
UK menjanjikan peruntukan sebanyak £4 bilion (AS$5.3 bilion), AS menyumbang AS$17.5 bilion, manakala Australia memperuntukkan lebih A$30 bilion (AS$20.7 bilion).
Sementara itu, Marles turut tidak mengambil serius amaran Presiden AS Donald Trump berhubung syarikat kecerdasan buatan (AI) Amerika yang membina pusat data di luar negara.
Trump sebelum ini menegaskan beliau tidak akan membenarkan syarikat AI AS menubuhkan pusat data di negara asing dan memberi amaran akan mengenakan "cukai yang amat tinggi" terhadap syarikat yang berbuat demikian.
Marles turut mengulas kebimbangan yang dibangkitkan Ketua Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO) Mike Burgess mengenai campur tangan asing dalam sektor pusat data AI di negara itu.
Menteri Pertahanan itu berhujah bahawa pembangunan infrastruktur AI di Australia turut memenuhi kepentingan keselamatan AS.
"Jika semua infrastruktur itu berada di satu tempat, dengan kata lain, jika ia kekal sepenuhnya di Amerika Syarikat, di situlah wujudnya kerentanan," kata Marles.
Beliau berkata Kerajaan Australia akan meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa AS dan syarikat teknologi berhubung potensi pelaburan.
"Kami mahu melihat pelaburan itu masuk ke Australia. Sudah tentu, ia bukan dilakukan tanpa sebarang syarat. Kami perlu melaksanakannya mengikut terma kami," katanya.
Australia menandatangani perjanjian diterajui AS minggu ini yang bertujuan mengenal pasti rantaian bekalan yang terdedah serta melindungi teknologi AI sensitif daripada kecurian dan campur tangan asing.
Menurut Marles, perjanjian itu turut menggalakkan pembangunan pusat data AI di luar AS.
-- BERNAMA-ANADOLU