Skip to main content

Malaysia

RM5.7 juta untuk baik pulih kemudahan awam Parlimen Bandar Tun Razak - Wan Azizah

Wan Azizah ketika merasmikan Program MADANI Kita 2026 Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di Perumahan Awam Seri Kota di sini pada Ahad anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. - Foto Facebook/Azman Bidin
Wan Azizah ketika merasmikan Program MADANI Kita 2026 Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di Perumahan Awam Seri Kota di sini pada Ahad anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. - Foto Facebook/Azman Bidin
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peruntukan khas Perdana Menteri sebanyak RM5.7 juta telah disalurkan ke kawasan Parlimen Bandar Tun Razak untuk membaik pulih pelbagai kemudahan awam bagi tempoh 2025 hingga tahun ini.

Ahli Parlimen kawasan berkenaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata antara kemudahan awam yang dibaik pulih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permaisuri dan SK Taman Midah 2 di bawah Program Sekolah Angkat MADANI bagi memperkasakan infrastruktur, aktiviti kokurikulum serta sahsiah murid.

Isteri Perdana Menteri itu berkata turut dibaik pulih ialah masjid, surau dan dewan komuniti.

Advertisement

"Cuma satu yang saya ingin pesan, bila dah dinaik taraf semua ini dan dah cantik, jagalah sebagai tanggungjawab kita bersama, bukan kerana kerja DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sahaja... kita penduduk di sini yang guna, kita jaga sama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MADANI Kita 2026 Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di Perumahan Awam Seri Kota di sini pada Ahad anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Advertisement

Program itu, yang turut dijayakan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, turut menyaksikan penyerahan 20 motosikal eKasih serta 300 Bakul RAHMAH yang mengandungi bahan makanan dan barangan keperluan asas. 

Pelbagai inisiatif dan perkhidmatan terus kepada rakyat juga disediakan pada program bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat” itu termasuk Jualan RAHMAH, Jualan Agro MADANI, menukar topi keledar lama, penukaran minyak enjin motosikal dan khidmat gunting rambut percuma.

Wan Azizah berkata penganjuran program turun padang seperti itu bertujuan memastikan dasar dan perancangan kerajaan benar-benar dirasai rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.

"Tema kita 'Memaknai Harapan Rakyat’ maksudnya jelas... kerajaan turun padang agar dasar dan perancangan tidak hanya cantik atas kertas sahaja tetapi manfaatnya benar-benar sampai serta dirasai oleh rakyat sampai ke akar umbi.

"Kejayaan program ini bukan diukur (daripada) berapa reruai yang ada tetapi berapa banyak urusan rakyat yang dipermudah dan masalah yang kita berjaya rungkai," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement