MOSCOW: Harga minyak dijangka terus menurun menjelang akhir tahun apabila eksport dari Asia Barat pulih, menurut analisis firma penyelidikan pasaran Euler yang dipetik RIA Novosti.
Harga minyak mentah penanda aras Dated Brent susut 25 peratus antara 1 Oktober hingga 16 November. Peningkatan import minyak China, yang berada pada paras tertinggi sejak Mac, masih belum tercermin dalam sebut harga pasaran. Pakar mengaitkan perkara ini dengan peningkatan eksport dari Asia Barat.
"Kami menjangkakan harga akan terus menurun pada Disember kerana kami percaya eksport dari Asia Barat secara beransur-ansur mengimbangi pasaran," menurut analisis itu.
Eksport minyak dari Asia Barat meningkat 29 peratus dalam tempoh seminggu pada lewat Oktober, mencecah 14.2 juta tong sehari, manakala eksport produk petroleum melonjak 59 peratus.
"Apabila jumlah eksport dari rantau itu stabil, penurunan lanjut bagi kedua-dua harga minyak dan 'crack spreads' (perbezaan harga antara minyak mentah dan produk bertapisnya) berkemungkinan berlaku," kata penganalisis.
Pada masa sama, penurunan 50 peratus kos perkapalan berbanding paras tertinggi pada Oktober telah mengurangkan kos penghantaran minyak mentah Afrika dan Brazil ke China, yang dijadual tiba pada Disember dan Januari, sebanyak AS$5 hingga AS$10 setong, menurut penyelidik.
Penurunan harga itu sudah mendorong China menambah simpanan rizabnya, berdasarkan anggaran Euler. Stok simpanan minyak negara itu meningkat 2.1 juta tan pada Oktober, manakala kadar penggunaan kilang penapisan turun tiga mata peratusan kepada 80.1 peratus. Bagaimanapun, sebaik sahaja inventori dipulihkan, penganalisis menjangkakan peningkatan dalam penapisan dan eksport produk petroleum dari Asia yang akan mengecilkan “crack spreads” global.
Sementara itu, Amerika Syarikat sedang meningkatkan eksportnya. Pengeluaran minyak AS melepasi 14 juta tong sehari pada awal November, mencecah paras tertinggi sepanjang zaman. Penganalisis mengunjurkan peningkatan output produk petroleum daripada kilang penapisan AS bermula November yang akan membantu meredakan kekurangan bekalan pasaran.
Eropah pula dijadual melepaskan 42.6 juta tong minyak dan produk petroleum, termasuk 20.5 juta tong diesel, daripada rizab strategiknya antara November hingga Januari, menurut Euler.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI