BEIJING: China pada Ahad menggesa Amerika Syarikat (AS) menarik balik cadangan sekatan terhadap akses langsung pengendali telekomunikasi China kepada nombor telefon AS, sambil menyifatkan langkah itu sebagai melanggar prinsip tanpa diskriminasi dan persaingan adil, lapor Xinhua.
Jurucakap Kementerian Perdagangan China berkata Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) AS menyalahgunakan kuasa kawal selianya dan memperluas tafsiran konsep keselamatan negara secara berlebihan, selain membuat tuduhan sewenang-wenangnya terhadap syarikat telekomunikasi China tanpa asas fakta.
Menjawab pertanyaan media, jurucakap itu berkata tindakan berkenaan turut menjejaskan operasi syarikat telekomunikasi China di AS secara sengaja.
Menurutnya, FCC sejak kebelakangan ini terus mengambil langkah untuk memisahkan dan memutuskan rantaian bekalan antara China dan AS dalam sektor telekomunikasi, komunikasi, pengujian dan pensijilan.
Beliau berkata tindakan itu bercanggah dengan persefahaman penting yang dicapai antara pemimpin kedua-dua negara, selain menjejaskan kestabilan hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS.
China menggesa AS segera menarik balik langkah berkenaan dan kembali menyelesaikan pertikaian menerusi rundingan, katanya.
Jurucakap itu turut menegaskan bahawa China akan mengambil langkah yang perlu bagi mempertahankan kepentingannya.
-- BERNAMA-XINHUA