Skip to main content

Dunia

Pesawat FedEx terbabas landasan, penerbangan ke Lapangan Terbang Miami digantung sementara

Kelewatan penerbangan di Miami dilaporkan mencecah sehingga satu jam pada awal malam Rabu, sebelum keadaan beransur pulih. - Foto REUTERS
Kelewatan penerbangan di Miami dilaporkan mencecah sehingga satu jam pada awal malam Rabu, sebelum keadaan beransur pulih. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Pihak berkuasa AS menggantung sementara semua penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Miami selepas pesawat kargo FedEx terbabas melepasi landasan.
  • Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menutup semua landasan kecuali satu untuk siasatan, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
  • Kelewatan penerbangan mencecah satu jam sebelum operasi beransur pulih, dengan FAA menjangka operasi normal disambung sekitar jam 10 malam waktu tempatan.
Advertisement

MIAMI: Pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat (AS) menggantung sementara semua penerbangan yang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Miami selepas sebuah pesawat kargo FedEx terbabas melepasi landasan pada petang Rabu.

Menurut laporan BBC, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengeluarkan arahan menghentikan sementara penerbangan ke lapangan terbang itu sekitar jam 8.15 malam waktu tempatan, susulan insiden yang melibatkan pesawat dari Memphis.

FAA turut menutup semua landasan di lapangan terbang berkenaan kecuali satu, sementara siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Advertisement

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan FAA menjangkakan operasi penerbangan dapat disambung semula sekitar jam 10 malam waktu tempatan.

Insiden itu berlaku sehari sebelum sambutan Hari Kesyukuran (Thanksgiving), yang lazimnya merupakan antara tempoh perjalanan paling sibuk dalam kalangan rakyat AS.

Advertisement

Kelewatan penerbangan di Miami dilaporkan mencecah sehingga satu jam pada awal malam Rabu, sebelum keadaan beransur pulih.

Jurucakap Jabatan Penerbangan Miami-Dade, Greg Chin, berkata pihaknya menghargai kesabaran para penumpang ketika usaha dilakukan untuk memulihkan operasi lapangan terbang secara selamat.

"Keselamatan kekal menjadi keutamaan kami ketika operasi kembali berjalan seperti biasa," katanya dalam kenyataan yang dipetik BBC.

Persatuan Automobil Amerika (AAA) sebelum ini menyenaraikan Miami sebagai antara lima destinasi domestik paling popular sepanjang minggu cuti Hari Kesyukuran tahun ini.

Pada masa sama, kawasan Miami-Dade turut berada di bawah amaran banjir berikutan hujan lebat berterusan yang dijangka menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS.

Awal bulan ini, AS turut menyaksikan gangguan besar apabila arahan menghentikan penerbangan di seluruh negara menyebabkan operasi udara tergendala selama beberapa jam, antara gangguan terbesar sejak serangan pengganas 11 September 2001.

Menurut BBC, FAA kini sedang menyiasat insiden pesawat FedEx yang terbabas itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement