KUALA LUMPUR:Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan keuntungan bersih bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020 lebih rendah kepada RM1 bilion berbanding RM1.20 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata hasil turut berkurangan 12.1 peratus kepada RM11.10 bilion daripada RM12.64 bilion sebelum ini.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2020, syarikat utiliti itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM2.38 bilion disokong oleh perolehan RM33.65 bilion berbanding keuntungan bersih RM3.88 bilion dan perolehan RM38.76 bilion sebelum ini.

Perolehan bagi tempoh tersebut berkurangan sebanyak 13.2 peratus, terutamanya susulan lebihan pemulihan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM1.47 bilion berbanding kedudukan di bawah pemulihan dalam tempoh sebelum ini serta penyusutan jualan elektrik sebanyak 6.5 peratus.

"Sebahagian besar daripadanya adalah disebabkan oleh penyusutan segmen pelanggan komersial dan perindustrian yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

"Berikutan itu, keuntungan operasi susut 13.9 peratus kepada RM5.90 bilion daripada RM6.85 bilion," katanya.

Mengulas prospek, TNB menjangkakan pemulihan secara beransur-ansur terhadap prestasi kumpulan bagi baki suku tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 di tengah-tengah persekitaran yang mencabar.

"Ini disokong oleh pelancaran pakej-pakej rangsangan kerajaan terutamanya Bantuan Prihatin Rakyat dan mengekalkan momentum aktiviti-aktiviti perniagaan.

"Kumpulan telah mengambil langkah-langkah berhemat dari segi keperluan operasi dan kewangan dalam usaha memastikannya kekal berdaya tahan," kata TNB.

-- BERNAMA