KUALA LUMPUR: Walaupun belum sepenggal menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan usaha keras beliau dalam menjana ekonomi negara berjaya meningkatkan pendapatan rakyat secara umum.
Pensyarah Kanan Ekonomi UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, berdasarkan pandangan ekonomi, beliau mengakui pembangunan ekonomi secara makro itu dilaksanakan sebaik mungkin sejak Anwar memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal ini.
Jelasnya, antara usaha itu adalah meningkatkan gaji minimum rakyat dan kenaikan gaji kakitangan awam.
Pada masa sama, ujarnya, langkah untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) juga diusahakan untuk membangun dengan baik supaya dapat menjana ekonomi tempatan dengan lebih cemerlang serta mampan.
"Cuma adakah ia memadai? Bagi saya usaha itu usaha yang baik dan berterusan tetapi tidak mencapai lagi hasrat yang harus diterjemahkan kepada rakyat Malaysia yang sedia ada.
"Kerana pada masa sama kita dihimpit dengan peperangan global yang menyebabkan kenaikan harga minyak melambung tinggi sehingga memberi kesan ketara kepada sektor pengangkutan, pelancongan, industri makanan, sektor eksport-import dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, menurut Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 diterbitkan Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan purata gaji dan upah bulanan warganegara Malaysia meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803 pada 2025 berbanding RM3,652 pada tahun sebelumnya.
Pada masa sama, penengah gaji dan upah bulanan meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940 daripada RM2,793 pada 2024.
DOSM memaklumkan bilangan penerima gaji dan upah bulanan keseluruhan meningkat kepada 12.01 juta orang berbanding 11.96 juta pada 2024 dan daripada jumlah itu, warganegara Malaysia merangkumi 10.38 juta orang atau 86.4 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji sepenuh masa.
Dalam pada itu, Bashir berkata, situasi geopolitik global secara tidak langsung telah merencatkan sedikit sebanyak pertumbuhan ekonomi negara yang pada asalnya nampak berada dalam keadaan yang agak baik.
Oleh itu tegasnya, Belanjawan 2027 adalah sangat penting sekali gus akan menentukan sektor ekonomi negara ke arah berdaya saing dengan menghadapi cabaran-cabaran dan isu global yang berlaku sekarang.
“Pada masa sama kerajaan perlu memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terutama M40 dan B40 itu dapat diutamakan.
“Saya mengharapkan belanjawan tahun ini akan memberikan lebih penekanan sebagaimana kerajaan boleh mengatasi aspek-aspek elemen yang berlaku pada peringkat global dan dapat diterjemahkan dalam Belanjawan 2027 dengan mekanisme yang dirasakan sesuai untuk membantu makroekonomi negara terus berkembang maju,” katanya.