CANBERRA: Usaha sama strategik antara Kumpulan Weststar menerusi Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan syarikat teknologi aeroangkasa serta pertahanan Australia, Rocket Technologies International (RTI), dijangka menjana potensi komersial melebihi RM42 bilion dalam jangka panjang menerusi pelbagai program berimpak tinggi.
Kerjasama itu dijangka merancakkan lagi perdagangan dua hala serta pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Australia melalui pembangunan sektor aeroangkasa, pertahanan dan teknologi maju.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim berkata, perjanjian usaha sama strategik (JVA) itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keupayaan industri serta kerjasama teknologi strategik antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, kerjasama tersebut bukan sekadar melibatkan aspek komersial, sebaliknya mencerminkan komitmen jangka panjang membangunkan industri bernilai tinggi, memperkukuh keupayaan teknologi serta meningkatkan daya saing Malaysia dan Australia dalam sektor strategik.
“Kami percaya kerjasama ini akan membuka peluang baharu kepada pertumbuhan industri, pembangunan bakat, inovasi dan penjanaan nilai ekonomi bagi kedua-dua negara, di samping meningkatkan keupayaan serantau serta mengukuhkan kerjasama strategik jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian perjanjian usaha sama strategik yang disaksikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Paduka Sharrina Abdullah di sini, pada Rabu.
Menerusi perjanjian itu, Weststar dan RTI akan menubuhkan syarikat usaha sama di Malaysia dan Australia bagi membangunkan keupayaan aeroangkasa dan pertahanan berdaulat.
Kerjasama berkenaan merangkumi pembangunan sistem pertahanan bersepadu, penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan serta kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam bidang aeroangkasa dan pertahanan di kedua-dua negara.
Sementara itu, Pengasas RTI, Allan James Payne berkata, kerjasama tersebut menjadi langkah penting dalam memperkukuh inovasi aeroangkasa dan pertahanan serantau melalui perkongsian strategik yang berasaskan kepercayaan.
Beliau berkata, gabungan kepakaran, kekuatan industri dan visi jangka panjang kedua-dua syarikat diyakini mampu mempercepat pembangunan teknologi serta menyokong pertumbuhan industri dan kerjasama serantau antara Malaysia dan Australia.
Kerjasama itu turut dijangka memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership, CSP) Malaysia-Australia selain membuka lebih banyak peluang kepada penyertaan industri tempatan, pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi, pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan ekosistem industri yang mampan di kedua-dua negara.