Skip to main content

Malaysia

Tahanan rumah Najib: Perbezaan pandangan dalam LPWP bukan penderhakaan - Peguam

Mohd Dusuki dan Hannah dilaporkan membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib, menurut minit mesyuarat LPWP yang dinyahklasifikasikan. - Gambar fail
Mohd Dusuki dan Hannah dilaporkan membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib, menurut minit mesyuarat LPWP yang dinyahklasifikasikan. - Gambar fail

Ringkasan AI

  • Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan tidak bersetuju dengan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
  • Peguam Zainul Rijal menegaskan perbezaan pendapat anggota lembaga bukan penderhakaan, sebaliknya sebahagian tanggungjawab mereka memberi pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong.
  • Kuasa pengampunan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan tidak tertakluk kepada keputusan majoriti atau undian anggota lembaga.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Percanggahan pendapat dikemukakan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) berhubung isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk penderhakaan kepada institusi diraja.

Peguam Zainul Rijal Abu Bakar menerusi satu hantaran di Facebook berkata tindakan tidak bersetuju terhadap sesuatu cadangan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab mereka sebagai anggota lembaga.

"Mereka dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memberikan pandangan. 

"Justeru, menyuarakan pandangan yang berbeza, termasuk tidak bersetuju dengan sesuatu cadangan, adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka sebagai anggota lembaga, bukannya suatu bentuk keingkaran atau penderhakaan kepada institusi diraja," katanya dalam hantaran itu.

Advertisement

Pada masa sama katanya, kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Agong sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Berdasarkan prinsip undang-undang dan penghakiman mahkamah yang berkaitan, kuasa tersebut tidak semestinya tertakluk kepada keputusan majoriti atau undian anggota Lembaga Pengampunan. 

Advertisement

"Pandangan anggota lembaga perlu dipertimbangkan, tetapi keputusan pelaksanaan kuasa pengampunan adalah dalam ruang prerogatif YDPA. 

"Malah, persoalan mengenai pelaksanaan kuasa prerogatif ini turut melibatkan prinsip non-justiciability, iaitu had campur tangan mahkamah dalam perkara tertentu berkaitan budi bicara pengampunan," jelas beliau.

Beliau mengulas bantahan Mohd Dusuki dan Hannah terhadap pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib, menurut minit mesyuarat LPWP yang dinyahklasifikasikan.

Beberapa muka surat kandungan minit mesyuarat itu dikongsi oleh bekas Ahli Parlimen DAP Tony Pua menerusi akaun Facebooknya, yang antara lain merekodkan pendirian Peguam Negara berhubung perkara tersebut.

Menurut minit berkenaan, Mohd Dusuki berpendapat bahawa bekas perdana menteri itu perlu menjalani hukuman banduan sehingga 2028 sebagaimana pandangan sebelum ini. 

Hukuman tahanan rumah tidak terdapat dalam undang-undang dan merupakan suatu perkara yang asing dan bukan dalam sistem negara kita sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke, sebelum ini.

Beliau menyatakan bahawa keputusan itu akan memberi kesan kepada kerajaan khususnya kestabilan politik, ekonomi, pelaburan dan imej negara di peringkat antarabangsa. 

Menurut minit mesyuarat itu, Hannah menyatakan bahawa pandangan beliau sama seperti pandangan Mohd Dusuki dan juga dalam mesyuarat sebelum ini.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement