Ringkasan AI
- Malaysia menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam keselamatan tenaga, makanan, dan daya tahan rantaian bekalan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49.
- Isu utama lain termasuk jerebu rentas sempadan, keselamatan siber, AI, rundingan Kod Tata Laku Laut China Selatan, dan krisis Myanmar turut dibangkitkan.
- Malaysia menggesa pengukuhan perdagangan serantau, integrasi digital, serta penyelesaian adil isu Palestin dan keamanan sempadan Thailand-Kemboja.
MANILA: Malaysia menggesa kerjasama serantau diperkukuh dalam aspek keselamatan tenaga dan makanan serta daya tahan rantaian bekalan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir di sini baru-baru ini.
Keutamaan Malaysia turut merangkumi isu jerebu rentas sempadan, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, selain usaha memuktamadkan rundingan Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan serta meneruskan dialog mengenai Myanmar.
Usaha berkenaan mencerminkan komitmen Malaysia untuk memastikan kerjasama serantau diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat di rantau ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengikuti jadual padat sepanjang sidang kemuncak itu, termasuk pertemuan dengan pemimpin ASEAN serta rakan dialog.
Mohamad menyampaikan beberapa kenyataan negara bagi pihak Anwar pada Selasa ketika Perdana Menteri kembali seketika ke Kuala Lumpur bagi menyambut ketibaan Presiden Perancis Emmanuel Macron, sebelum kembali ke Manila pada hari yang sama bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS).
Daya tahan ekonomi menjadi antara tumpuan utama apabila Anwar pada sesi pleno Ahad menggesa ASEAN mempelbagaikan sumber bekalan makanan dan ubat-ubatan, memperluas pengeluaran serantau serta memperkukuh kerjasama dalam bekalan keperluan asas, kelulusan ubat-ubatan, perolehan dan penyimpanan stok.
Beliau turut menggesa peningkatan perkongsian tenaga antara negara anggota, usaha memperkasa semula Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) serta mempercepat kemajuan pembangunan Grid Tenaga ASEAN (APG) yang bersepadu.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga pada Selasa, Malaysia menggesa supaya Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga (APTERR) diperkukuh serta rangkaian rizab makanan serantau bagi komoditi makanan asas lain diwujudkan untuk melindungi rantau ini daripada gangguan bekalan.
Ketika menyampaikan kenyataan negara pada sidang kemuncak itu, Anwar menggesa supaya Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dimanfaatkan dengan lebih berkesan, selain memperkukuh penyelarasan bagi memastikan kelancaran bekalan makanan, bahan api dan input pertanian ketika berlaku gangguan.
“Kita perlu memperkukuh Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga (APTERR) sedia ada ke arah pembentukan rangkaian rizab makanan serantau yang turut merangkumi komoditi penting selain beras, dengan menggembleng sumber bersama bagi menghadapi gangguan bekalan secara mendadak,” kata beliau.
Mengenai daya tahan tenaga, Anwar berkata pengaturan penyimpanan stok petroleum perlu dilaksanakan secara sukarela, berasaskan pertimbangan komersial serta mengambil kira keadaan dan tahap kesiapsiagaan setiap negara.
Malaysia turut mengalu-alukan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China yang dipertingkat, sambil menekankan kepentingan perdagangan yang seimbang.
Selain itu, Malaysia menggesa supaya kajian semula Perjanjian Perdagangan ASEAN-India dimuktamadkan segera bagi meningkatkan akses pasaran dan memperkukuh rantaian bekalan.
Kerjasama dengan India turut merangkumi aspek keselamatan digital, dengan Malaysia mencadangkan perkongsian risikan yang lebih erat, pembangunan kapasiti dan penyelarasan kawal selia bagi menangani penipuan rentas sempadan.
Bagi memperkukuh integrasi digital serantau, Malaysia turut menyertai negara anggota ASEAN lain memeterai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) pada Sabtu bagi memudahkan perdagangan dalam talian serta memperluas akses perniagaan kepada pasaran serantau.
Malaysia juga menggesa supaya kajian semula awal dan menyeluruh terhadap Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun (AJCEP) dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan perdagangan dan daya tahan ekonomi serantau.
Pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-21 pada Selasa, Anwar menggesa pertahanan dan tadbir urus keselamatan siber diperkukuh, sambil memberi amaran bahawa serangan yang menggunakan AI berpotensi melumpuhkan infrastruktur kritikal rentas sempadan.
Mengenai keselamatan serantau, Anwar menggesa pembaharuan iltizam politik bagi memuktamadkan COC di Laut China Selatan yang berkesan dan substantif, sambil menegaskan bahawa rundingan berkenaan kini berada pada peringkat kritikal.
Beliau berkata ASEAN dan China kekal komited untuk mempercepat rundingan meskipun gagal mencapai sasaran 2026, dengan tiada tarikh akhir baharu ditetapkan setakat ini.
China pada prinsipnya bersetuju dengan peruntukan umum berkaitan keamanan dan hak laluan di Laut China Selatan, namun butiran lanjut masih belum dimuktamadkan.
Sementara itu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa Lazaro berkata kegagalan mencapai sasaran itu tidak harus dianggap sebagai kegagalan keseluruhan, memandangkan persetujuan sementara telah dicapai bagi lebih 80 peratus perenggan dalam draf berkenaan.
Rundingan akan diteruskan di bawah kepengerusian ASEAN oleh Singapura pada 2027.
Mengenai Myanmar, Anwar menggesa ASEAN mempergiat usaha libat urus bagi meredakan ketegangan dalaman serta memulihkan keamanan dan kestabilan di negara itu.
Beliau berkata Malaysia kekal menyokong pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN, namun sebarang pendekatan yang diambil perlu mengambil kira perkembangan terkini di Myanmar.
Malaysia turut membangkitkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza dengan menggesa supaya kekejaman dihentikan dan penyelesaian yang adil serta aman dicapai.
Pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS, Anwar mengalu-alukan pengiktirafan Presiden Donald Trump terhadap usaha Malaysia meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja, sambil menekankan kepentingan dialog berterusan bagi menjamin keamanan sempadan yang berkekalan serta kestabilan serantau.
Beliau berkata sidang kemuncak itu turut membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama ASEAN-AS dalam bidang perdagangan, pelaburan dan teknologi.
Mengulas penyertaan Malaysia, Profesor Pengajian ASEAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap Pengarah Institut Kajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS), Prof Dr Phar Kim Beng berkata ASEAN kekal menjadi teras dasar luar Malaysia memandangkan peranannya sebagai anggota pengasas serta hubungan erat dengan negara jiran.
“Semua perdana menteri, khususnya sejak 1967 memberikan penekanan besar terhadap ASEAN,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata hubungan dengan negara jiran kekal menjadi keutamaan Malaysia, di samping komitmen dalam hubungan dengan kuasa besar serta pertubuhan antarabangsa lain.
Jadual padat Anwar dan peranan Mohamad menyampaikan kenyataan negara bagi pihak Perdana Menteri mencerminkan keutamaan itu, sekali gus memastikan kepentingan Malaysia terus diketengahkan sepanjang sesi sidang kemuncak berkenaan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan melabuhkan tirainya dengan Filipina menyerahkan jawatan pengerusi kepada Singapura bagi 2027, menyaksikan peralihan daripada tema “Navigating Our Future, Together” kepada “Deeper Integration, Wider Partnerships”.
-- BERNAMA