Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri menegaskan tujuh Inisiatif Berorientasikan Misi Kebangsaan mesti menghasilkan penyelesaian sebenar, bukan sekadar agenda penyelidikan atau dasar.
- Kerajaan memperuntukkan RM300 juta untuk projek agromakanan dan RM1.2 bilion bagi industri semikonduktor tempatan, menyokong inovasi berimpak tinggi.
- Majlis Penganugerahan Felow ASM 2026 mengiktiraf dua Felow Kanan baharu dan 30 felow baharu, menjadikan jumlah Felow ASM kini 554 orang.
KUALA LUMPUR: Tujuh Inisiatif Berorientasikan Misi (MOI) Kebangsaan yang diluluskan Majlis Sains Negara perlu menghasilkan penyelesaian sebenar dan bukan sekadar menjadi agenda penyelidikan atau penyediaan dasar semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata inisiaitif itu, yang merangkumi keterjaminan makanan, industri sawit, masyarakat menua, semikonduktor termaju, kesihatan digital, teknologi kuantum serta keterjaminan tenaga, disokong kerajaan menerusi peruntukan RM300 juta bagi projek agromakanan dan pelaburan RM1.2 bilion untuk industri semikonduktor tempatan.
Fadillah berkata negara perlu segera beralih daripada pendekatan penyelidikan berorientasikan output kepada inovasi berorientasikan impak bagi menangani cabaran semasa seperti persaingan teknologi global, gangguan rantaian bekalan, ancaman keselamatan siber dan perubahan iklim.
“Malaysia perlu memperkukuh keupayaan teknologinya sendiri, dengan tidak boleh terus bergantung kepada penyelesaian luar dalam bidang strategik yang menentukan daya tahan dan kedaulatan negara.
“Pihak industri perlu dilibatkan sejak peringkat awal sebagai rakan pembangunan teknologi, bukan sekadar pengguna akhir... ini penting untuk memastikan hasil penyelidikan dapat diuji, diterima guna, dikomersialkan dan diperluas manfaatnya,” kata beliau dalam ucapan ketika menyempurnakan Majlis Penganugerahan Felow Akademi Sains Malaysia (ASM) 2026 di sini semalam.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang serta Presiden ASM yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen.
Dalam ucapannya, Fadillah turut mencadangkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan ke arah mewujudkan pusat kecemerlangan yang mengumpulkan pihak berkepakaran dalam tujuh MOI Kebangsaan berkenaan.
Beliau berkata Malaysia kini memasuki fasa penting pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 dengan aspirasi memperkukuh produktiviti, daya saing dan keupayaan teknologi tempatan melalui agenda Made by Malaysia.
Fadillah berkata sasaran meningkatkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan kepada 2.5 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar menjelang 2030 memerlukan komitmen bersama kerajaan, industri dan komuniti penyelidikan.
“Namun, kejayaan tidak boleh diukur melalui jumlah pelaburan semata-mata sebaliknya melalui teknologi yang dibangunkan, produktiviti yang meningkat dan manfaat yang dirasai oleh rakyat… dalam hal ini, kementerian berperanan penting menghubungkan dasar, penyelidikan, pembangunan bakat dan industri... kepakaran Felow ASM pula perlu terus dimanfaatkan sebagai sumber nasihat saintifik berwibawa bagi memastikan keputusan negara berasaskan bukti,” katanya.
Fadillah turut menyambut baik Pelan Strategik ASM 2026-2030 yang meletakkan badan itu sebagai Peneraju Transformasi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi melalui pendekatan Model Berasaskan Jaringan dalam memperkukuh hubungan antara pakar, kerajaan, industri serta masyarakat.
Sementara itu, Chang dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan pelan tersebut perlu memberikan perhatian kepada tiga perkara, iaitu mutu nasihat dasar, penerimagunaan hasil penyelidikan dan pembangunan bakat yang disifatkannya saling berkait dalam memperkukuh keupayaan teknologi serta daya saing negara.
Beliau turut menekankan pembangunan teknologi berasaskan keperluan pengguna, pematuhan piawaian, bimbingan penyelidik muda dan kerjasama antara institusi pendidikan dengan industri.
Menerusi kenyataan sama, Tengku Mohd Azzman memaklumkan keberkesanan model jaringan ASM perlu berpaksikan hubungan kerjasama yang bermakna, dengan menekankan kepentingan untuk badan itu berperanan menyatukan segala kekuatan tanpa mengetepikan perbezaan yang ada dalam menghasilkan idea lebih kreatif.
Majlis Penganugerahan Felow ASM 2026 itu menyaksikan dua figura, iaitu Datuk Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud dan Dr Helen Nair diiktiraf sebagai Felow Kanan baharu ASM yang membolehkan penggunaan Academician di hadapan nama mereka.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada 30 felow baharu sekali gus menyaksikan ASM kini mempunyai sebanyak 554 Felow termasuk 32 Felow Kanan.
-- BERNAMA