SERKAM: Meskipun pertama kali bertanding sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Azman Abdullah yakin pengalaman lebih 10 tahun berkhidmat bersama wakil rakyat menjadi kelebihan untuk mendekati pengundi.
Beliau berkata, penglibatannya dalam kerja-kerja khidmat masyarakat sebelum dicalonkan membolehkan beliau memahami keperluan, tuntutan serta permasalahan penduduk di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pengalaman itu juga menjadikan beliau tidak kekok untuk turun padang dan meneruskan khidmat kepada masyarakat sekiranya diberi mandat pada PRN kali ini.
“Kalau nak katakan saya ini muka baharu, saya sudah berkhidmat dengan Ahli Parlimen dan wakil rakyat lebih 10 tahun. Memanglah saya calon muka baharu sebagai wakil rakyat, tetapi berkhidmat dengan rakyat sudah lebih daripada 10 tahun.
“Jadi bagi saya, saya tidak kekok. Saya turun ke bawah dan sebelum dicalonkan pun saya sudah buat kerja sebagai wakil kepada wakil rakyat. Kita sudah faham apakah kehendak rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni penduduk kampung Serkam di Medan Selera Serkam pada Selasa.
Mengulas persaingan sepanjang tempoh kempen, Azman menyifatkan pertandingan kali ini berlangsung secara sihat, selain menegaskan hubungan sesama calon perlu terus dipelihara meskipun berbeza fahaman politik.
Katanya, setiap calon mempunyai pendekatan tersendiri dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi tanpa perlu mencetuskan ketegangan sepanjang tempoh berkempen.
“Persaingan itu biasalah. Saya sudah maklumkan kita bertanding secara sihat. Bagi saya, mereka semua saudara-saudara.
“Mereka dengan cara mereka, saya dengan cara saya,” katanya.
Pada PRN Melaka ke-16, Azman yang merupakan calon muka baharu BN berdepan saingan tiga penjuru bagi merebut kerusi DUN Serkam.
Beliau dicabar Muhammad Faiq Azman daripada Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Saffie Md Yasan daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), dalam usaha mempertahankan kerusi yang sebelum ini disandang Datuk Zaidi Attan daripada BN.