KUALA LUMPUR: Volvo Car Malaysia Sdn Bhd komited untuk menjadi jenama kereta elektrik mewah (eLuxury) nombor satu di Malaysia dan menyasarkan untuk mencapai 75 peratus jualan daripada kereta elektrik penuh menjelang 2025.

Pengarah Urusan Charles Frump berkata menjelang 2025, syarikat itu akan mengurangkan pelepasan karbon dioksidanya sebanyak 40 peratus bagi setiap kereta.

"Apabila kita berbicara tentang pelepasan paip ekor, kenyataan terbesar yang kami buat ialah menjelang 2030, kami akan menjadi syarikat kereta elektrik sepenuhnya. Tetapi melihat kepada perkembangan, sokongan dan sentimen pelanggan yang kami peroleh, kami fikir kami boleh bergerak dengan lebih pantas.

"Jadi secara global, kami telah menetapkan ia sebagai pencapaian untuk kami menjadi 50 peratus elektrik menjelang 2025, tetapi di Malaysia, kami mahu menjadi 75 peratus menjelang 2025. Hanya dalam masa beberapa tahun, menjelang 2025, 75 peratus daripada jualan kami akan datang daripada kereta elektrik," katanya pada pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sahaja pertamanya, Volvo C40 Recharge Pure Electric.

C40 Recharge Pure Electric akan menjadi kenderaan elektrik (EV) pemasangan tempatan (CKD) kedua syarikat selepas XC40 Recharge Pure Electric, yang pertama kali dilancarkan di sini pada Mac.

CKD EV yang pertama mencapai kejayaan yang mengagumkan dengan syarikat itu masih memenuhi penghantaran kereta kepada pelanggan dengan jumlah pesanan yang sihat menjelang 2023.

Frump juga menyatakan bahawa Volvo adalah jenama kereta pertama yang memasang EV tempatan dan dieksport ke pasaran ASEAN lain, iaitu Vietnam, Thailand dan Indonesia.

"Senarai ini terus meningkat kerana saya fikir produk yang kami bina dan kualiti pemasangan sangat digemari sepanjang masa," katanya.

Mengulas mengenai model Volvo yang baharu dilancarkan, Frump berkata SUV itu direka untuk pelanggan yang mencari reka bentuk yang bergaya, elektrifikasi dan berteknologi canggih.

Ia dilengkapi dengan rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya yang menghasilkan output sebanyak 408 kuasa kuda (hp) dan tork 660Nm yang membolehkan ia memecut daripada 0 ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.7 saat.

Ia juga mampu bergerak sejauh 450 km dengan sekali cas dan turut menampilkan keupayaan mengecas sehingga 80 peratus dalam masa 28 minit, kata Frump.

Volvo C40 Recharge Pure Electric disediakan dalam lima warna iaitu Crystal White, Black Stone, Silver Dawn, Sage Green dan warna terbaharu Fjord Blue - dilancarkan secara rasmi hari ini pada harga RM288,888 di atas jalan.

Volvo Car Malaysia juga mencatat sejarah dengan pengenalan platform 'Jualan Dalam Talian', yang membolehkan pelanggan membuat tempahan di laman sesawang rasmi syarikat www.volvocars.com/my, mulai 8 malam hari ini.

Kereta yang baharu dilancarkan itu tersedia di semua pengedar sah Volvo di Malaysia mulai 15 Dis 2022 dan seterusnya.

-- BERNAMA