Ringkasan AI
- Imran Khan merayu kepada Ketua Hakim Negara Pakistan untuk mendapatkan rawatan perubatan segera bagi dirinya dan isterinya yang turut dipenjarakan.
- Peguam dan parti PTI mendakwa Imran serta isterinya menghadapi risiko kesihatan serius, namun kerajaan menegaskan mereka menerima rawatan berkala.
- Kerajaan Pakistan menafikan dakwaan layanan tidak adil, menyatakan Imran menerima hak perundangan, rawatan perubatan, serta lebih 900 kunjungan sejak 2023.
ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan yang kini dipenjarakan, Imran Khan pada Isnin merayu kepada hakim tertinggi negara itu supaya membantu mendapatkan rawatan perubatan segera untuk dirinya dan isterinya, selain mendakwa pihak berkuasa gagal melaksanakan perintah mahkamah terdahulu untuk memindahkannya ke sebuah hospital di ibu negara, Islamabad, lapor The Associated Press (AP).
Dalam surat terbuka yang disampaikan kepada hakim menerusi peguamnya, Imran berkata tekanan darahnya meningkat secara mendadak dan doktor memberi amaran bahawa beliau berisiko mengalami pendarahan otak serta serangan jantung.
Menurut surat yang diedarkan kepada media oleh parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Imran dan peguamnya, Salman Safdar, bekas Perdana Menteri itu berkata isterinya Bushra Bibi, turut memerlukan pembedahan mata susulan dan berisiko kehilangan penglihatan secara kekal sekiranya rawatan itu tidak dilakukan.
Imran dipenjarakan sejak 2023 selepas disabitkan kesalahan dalam kes rasuah. Beliau disingkirkan daripada jawatan Perdana Menteri menerusi undi tidak percaya di Parlimen pada April 2022.
Walaupun berdepan pelbagai masalah perundangan, Imran kekal sebagai tokoh penting dan popular di Pakistan manakala PTI terus menuntut pembebasannya.
Isterinya turut menjalani hukuman penjara atas pertuduhan rasuah.
Bagaimanapun, Menteri Kabinet, Tariq Fazal Chaudhry mempertikaikan dakwaan Imran dengan menyatakan bahawa beliau menerima rawatan perubatan secara berkala, selain menuduhnya cuba meraih keuntungan politik.
Dalam hantaran di platform X, Tariq berkata Imran dibawa ke Institut Sains Perubatan Pakistan di Islamabad sebanyak lapan kali untuk menjalani pemeriksaan dan hasilnya menunjukkan keadaan kesihatan serta tekanan darah beliau berada pada tahap memuaskan.
Beliau berkata Imran turut diberikan makanan mengikut pilihannya serta mempunyai akses kepada buku dan televisyen.
Tariq berkata kerajaan bertanggungjawab memastikan Imran menerima rawatan perubatan dan hak perundangannya dilindungi, sebagaimana tanggungjawab kerajaan terhadap setiap banduan.
Perkembangan terbaharu itu berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa membenarkan peguam Imran menemuinya di penjara.
"Hari ini, saya hanya meminta supaya saya dan isteri saya diberikan layanan sewajarnya," kata Imran menurut surat berkenaan.
"Saya hanya akan terus berupaya membuktikan bahawa saya tidak bersalah sekiranya saya kekal hidup."
Surat itu ditujukan kepada Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung Pakistan serta ketua hakim mahkamah lain.
"Saya merayu kepada Yang Arif, atas dasar paling asas nilai kemanusiaan, berikan saya keadilan sebelum semuanya terlambat," kata Imran.
Awal tahun ini, Salman, peguam Imran, memaklumkan kepada Mahkamah Agung bahawa bekas Perdana Menteri itu kehilangan kira-kira 85 peratus penglihatan pada mata kanannya. Kerajaan ketika itu menafikan dakwaan berkenaan manakala seorang saudara perempuan Imran berkata penglihatannya bertambah baik dengan ketara selepas menerima rawatan perubatan, yang menurut pihak berkuasa masih diteruskan.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Shehbaz Sharif berkata Imran bukan ditahan atas arahan kerajaan, sebaliknya sebagai "banduan yang disabitkan kesalahan" dan sedang menjalani hukuman yang dijatuhkan mahkamah selepas prosiding kehakiman.
Kerajaan turut menolak dakwaan bahawa Imran ditempatkan dalam kurungan bersendirian atau dinafikan hubungan dengan keluarganya, sambil menyatakan bahawa beliau menerima lebih 900 kunjungan sejak dipenjarakan pada 2023.
-- BERNAMA-AP