Skip to main content

Malaysia

Malaysia lihat potensi perkukuh kerjasama dengan Perancis

Fadillah ketika menerima kunjungan hormat Menteri Delegasi bagi Industri Perancis Sebastien Martin. - Foto Facebook/Fadillah Yusof
Fadillah ketika menerima kunjungan hormat Menteri Delegasi bagi Industri Perancis Sebastien Martin. - Foto Facebook/Fadillah Yusof

Ringkasan AI

  • Malaysia dan Perancis membincangkan kerjasama strategik meliputi pelaburan, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi, khususnya dalam sektor tenaga.
  • Lawatan rasmi Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Malaysia pada 16 dan 17 November dijangka memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama pelbagai sektor.
  • Fokus kerjasama termasuk pertahanan, keselamatan, mineral kritikal, peralihan tenaga, aeronautik, AI, keselamatan siber dan industri semikonduktor.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia melihat potensi besar untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Perancis, merangkumi usaha menarik pelaburan baharu, memperluas perkongsian kepakaran serta menggalakkan pemindahan dan pertukaran teknologi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu dibincangkan sewaktu beliau menerima kunjungan hormat Menteri Delegasi bagi Industri Perancis Sebastien Martin, di Bangunan Parlimen petang tadi.

“Pertemuan ini menjadi platform untuk bertukar-tukar pandangan serta meneroka ruang kerjasama yang lebih luas antara Malaysia dan Perancis, khususnya dalam bidang peralihan tenaga, tenaga hijau, keselamatan tenaga dan pembangunan grid tenaga.

Advertisement

“Perancis merupakan antara negara yang mempunyai kepakaran dan kemajuan teknologi yang signifikan dalam sektor tenaga,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Advertisement

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berharap pertemuan itu menjadi satu lagi langkah bermakna dalam mempererat hubungan dua hala Malaysia-Perancis, di samping membuka peluang kerjasama yang saling menguntungkan ke arah pembangunan ekosistem tenaga yang lebih mampan, berdaya tahan dan berdaya saing.

Presiden Perancis Emmanuel Macron akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 16 dan 17 Nov selepas lawatan negara ke Kemboja, menandakan lawatan pertamanya ke negara ini sejak 2017.

Lawatan bersejarah itu, membuka lembaran baharu apabila kedua-dua negara bersedia meningkatkan hubungan diplomatik sedia ada kepada perkongsian strategik yang lebih menyeluruh.

Ia memberi tumpuan khusus kepada sektor pertahanan dan keselamatan, mineral kritikal, peralihan tenaga, aeronautik dan aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber serta industri semikonduktor.

Kunjungan Macron merupakan kesinambungan kepada momentum lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis pada Julai tahun lepas, iaitu lawatan pertama oleh seorang ketua kerajaan Malaysia dalam tempoh 15 tahun.

Pejabat Presiden Perancis sebelum ini turut menyifatkan kehadiran Macron ke Kuala Lumpur sebagai “langkah baharu” dalam memacu hubungan dua hala kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement