DAVOS: Pakar daripada pelbagai industri harus memberikan tumpuan kepada peningkatan kualiti dan ketersediaan data merentas negara, meningkatkan akses kepada sumber pengiraan (computational), dan model asas yang dapat disesuaikan supaya ia sepadan dengan keperluan dan cabaran kecerdasan buatan (AI) tempatan.

Melalui tiga laporan yang dikeluarkan oleh AI Governance Alliance (AIGA), penekanan juga harus diberikan kepada aspek pendidikan dan pembangunan kepakaran tempatan untuk mencipta dan mengemudi ekosistem AI tempatan dengan berkesan.

Selaras dengan matlamat tersebut, laporan itu menyebut bahawa terdapat keperluan untuk mewujudkan rangka kerja institusi baharu dan perkongsian awam-swasta bersama-sama dengan pelaksanaan kawalan pelbagai hala untuk membantu dan meningkatkan usaha berkenaan.

Menurut laporan berkenaan, meskipun AI berpotensi menyelesaikan cabaran global, namun ia juga berisiko melebarkan lagi jurang digital sedia ada dan mungkin mewujudkan kesenjangan baharu.

Selain itu kerjasama antarabangsa dan keterangkuman akses kepada pembangunan dan adaptasi AI juga disentuh dalam laporan tersebut yang mana penyelarasan dan piawaian antarabangsa harus diwujudkan bagi mengelak perpecahan dalam pelaksanaan.

“Evolusi AI adalah unik kerana teknologi, peraturan dan adaptasi perniagaan semuanya semakin pesat pada masa yang sama.

“Adalah penting untuk sektor awam dan swasta bersatu untuk berkongsi cerapan, sumber dan amalan terbaik untuk membina dan menskalakan AI secara bertanggungjawab.

“Pemimpin dalam ruang ini mesti mengutamakan AI inklusif supaya manfaat teknologi ini dikongsi di semua bahagian dunia, termasuk pasaran baru muncul,” kata Ketua Pegawai Inovasi Teknologi Accenture, Paul Daugherty.

Laporan sama turut memberikan garis panduan untuk adaptasi Gen AI, dengan penekanan diberikan kepada penilaian kes sedia ada, kawal selia pelbagai pemegang taruh, komunikasi telus, struktur operasi dan pengurusan perubahan berasaskan nilai untuk penyepaduan berskala dan bertanggungjawab ke dalam organisasi.

“Kita semua mempunyai kewajipan untuk bekerjasama secara global merentasi syarikat, kerajaan dan masyarakat sivil untuk mewujudkan sempadan etika dan rangka kerja dasar yang akan menjelaskan bagaimana Gen AI direka dan digunakan,” kata Naib Pengerusi IBM, Gary Cohn.

AIGA juga berusaha untuk menggerakkan sumber untuk meneroka manfaat AI dalam sektor utama, termasuk penjagaan kesihatan dan pendidikan.

AIGA merangkumi kerajaan, perniagaan dan pakar-pakar untuk membentuk aplikasi dan tadbir urus pembangunan AI yang bertanggungjawab serta memastikan pengagihan yang saksama dan akses lebih besar kepada teknologi AI.