APLIKASI pemesejan popular, WhatsApp kini mula menguji ciri baharu yang membolehkan pengguna menghantar mesej teks yang hanya boleh dibaca sekali sebelum hilang secara automatik.
Menurut Amanz yang memetik laporan portal penjejak ciri teknologi, WABetaInfo, pengenalan fungsi itu sekali gus memperluaskan ciri 'View Once' yang sebelum ini hanya terhad kepada perkongsian gambar, video dan mesej suara dalam perbualan.
Menerusi ciri baharu yang dikesan pada kemas kini WhatsApp Beta untuk Android versi 2.26.45.6 itu, pengguna hanya perlu menaip teks seperti biasa dan menekan lama butang hantar bagi memilih pilihan 'View Once' sebelum mesej dihantar secara automatik.
Penerima pula hanya boleh membuka kandungan teks berkenaan sekali sahaja dalam paparan skrin berasingan dan tidak lagi dapat mengaksesnya semula selepas paparan mesej itu ditutup.
Bagi menjamin aspek privasi dan keselamatan, WhatsApp turut menyertakan perlindungan tambahan termasuk menyekat fungsi tangkapan layar dan rakaman skrin pada peranti penerima semasa mesej dibaca.
Selain itu, sistem berkenaan turut menghalang kandungan mesej teks terbabit daripada disalin, disimpan atau dimajukan semula kepada mana-mana pihak ketiga.
Buat masa ini, ciri tersebut hanya tersedia kepada sebahagian pengguna yang mendaftar dalam program WhatsApp Beta untuk peranti Android melalui Google Play Store sebelum diperluaskan kepada lebih ramai penguji dalam beberapa minggu akan datang.
Bagaimanapun, pihak WhatsApp masih belum mengesahkan tarikh rasmi pelancaran ciri berkenaan untuk pengguna umum mahupun bagi peranti sistem operasi iOS.