KUALA LUMPUR: Lelaki warga asing yang menyerang seorang anggota polis menggunakan parang hingga putus pergelangan tangannya dalam kejadian di Desa Amanpuri, Kepong, Rabu lalu, dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, polis menerima maklumat berhubung keadaan suspek menerusi laporan yang dibuat seorang kenalannya sebelum insiden berlaku.
Menurutnya, individu terbabit mendakwa suspek menunjukkan tingkah laku agresif dan berada dalam keadaan tidak terkawal ketika di kediamannya.
Susulan laporan berkenaan, polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk ke lokasi kejadian.
"Bagaimanapun, punca sebenar masih dalam siasatan dan pihak polis juga akan meneliti keterangan rakan suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Shazeli berkata, siasatan turut mengambil kira latar belakang suspek dengan mendapatkan keterangan daripada mereka yang pernah berhubung rapat dengannya.
"Setakat ini, lebih 20 individu termasuk jiran, penduduk sekitar dan kenalan suspek telah dirakam percakapan.
"Polis juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai boleh membantu melengkapkan siasatan, khususnya berkaitan perubahan tingkah laku suspek," katanya.
Dalam perkembangan sama, siasatan mendapati lelaki itu memasuki Malaysia menggunakan pas pelajar, namun pas berkenaan serta pasportnya dipercayai telah tamat tempoh.
Suspek juga bukan penyewa berdaftar di pangsapuri yang didiaminya kerana unit berkenaan disewa oleh seorang rakannya yang merupakan warga tempatan.
Sementara itu, anggota polis yang cedera dalam serangan berkenaan dilaporkan menunjukkan perkembangan positif dan kini berada dalam keadaan stabil.
Shazeli berkata, pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjaya menyambung semula pergelangan tangan kanan Lans Koperal Thierry Rodger Fendy, 26, yang putus akibat ditetak.
Anggota berkenaan masih menerima rawatan susulan selepas mengalami kecederaan parah dalam insiden itu.