KUALA LUMPUR: Bina Puri Holdings Bhd telah diserahkan petisyen pembubaran syarikat oleh YTL Cement Marketing Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung YTL Corp Bhd, untuk jumlah tertunggak yang didakwa berjumlah RM1.74 juta.

YTL Cement Marketing mendakwa Bina Puri tidak membayar RM1.74 juta, termasuk kadar faedah 1.5 peratus setiap bulan, setakat 30 Nov 2023.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Bina Puri berkata ia masih dalam perbincangan dengan pempetisyen dalam usaha menyelesaikan perkara itu secara baik.

"Tidak akan ada kesan kewangan dan operasi material serta-merta dan tiada jangkaan kerugian kepada kumpulan yang timbul daripada petisyen itu," tambahnya.

Tarikh pendengaran petisyen itu telah ditetapkan pada 25 Mac 2024.

Sebelum ini, peguam Tetuan Lim Soh dan Goonting telah mengemukakan petisyen pembubaran ke atas syarikat milik penuh Bina Puri, Bina Puri Properties Sdn Bhd, atas dakwaan tidak membayar hutang.

Kemungkiran itu berkaitan dengan notis tuntutan bertarikh 19 Sept 2023, mengenai baki belum dibayar sebanyak RM972,564 untuk perkhidmatan guaman yang diberikan kepada kumpulan berkenaan.

Pada Okt 2023, Thai Soon Hang (Sabah) Sdn Bhd menyampaikan kepada Bina Puri Sdn Bhd, sebuah lagi anak syarikat milik penuh, dengan petisyen pembubaran berhubung dakwaan kegagalan pembayaran sebanyak RM198,116.

Keingkaran itu melibatkan penghakiman persetujuan yang diperoleh Thai Soon Hang pada 11 Jun 2021.

Bina Puri melaporkan hasil sebanyak RM44.2 juta dan kerugian sebelum cukai RM10.6 juta bagi suku pertama tahun fiskalnya, yang berakhir pada 30 Sept 2023.

Harga saham syarikat itu telah jatuh 22.22 peratus tahun setakat ini.- DagangNews.com