Menyedari realiti usahawan bumiputera perlu dibimbing, kini lebih ramai pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berjaya tampil membantu memperkasa usahawan lain.

Zawara, jenama busana muslimah yang bernaung di bawah syarikat Mirage Resources Sdn. Bhd., menyahut seruan dan tanggungjawab tersebut dengan bertindak sebagai mentor kepada 13 pengusaha IKS di seluruh negara.

Sasar 20 francais

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Ariff Karim berkata pihaknya mengambil peranan dengan memberi garis panduan serta bimbingan berkaitan selok-belok perniagaan kepada para pengusaha berkenaan.

“Pada tahun 2014, kita sudah menerima lesen francais daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan dibantu oleh pinjaman Perbadanan Nasional Berhad (PNB).

“Ia untuk memberikan peluang perniagaan secara efektif kepada francaisi kami,” katanya ketika ditemui pada majlis Karnival Zawara Busana di Menara Mara yang berlokasi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada tahun ini, Zawara menyasarkan untuk mempersiapkan 20 francaisi yang setiap satunya memerlukan modal sejumlah RM250,000

Zawara
Majlis Karnival Zawara Busana yang diadakan di di Menara Mara baru-baru ini mendapat sambutan hebat. - Foto Astro AWANI

Dari online ke butik

Senario hari ini menyaksikan ramai usahawan berniaga secara dalam talian. Bagi komuniti pengguna Islam, pasti mereka mengenal pasti banyak akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram yang menawarkan jualan pakaian seperti tudung atau jubah.

Zawara juga melalui peringkat yang sama dan kini telah menjadi antara jenama yang menjadi pilihan orang ramai seluruh negara. Namun kisah kejayaan Zawara bukan sahaja mengenai produknya, tetapi nilai serta pengurusan syarikat itu.

Seorang lagi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dilla Karim menyatakan bahawa mahu menjadi perintis dalam busana muslimah.

“Saya mahu memperbanyakkan lagi koleksi dan membesarkan perniagaan ini. Kalau boleh saya mahu jadikan jenama ini sebagai pusat sehenti bagi kelengkapan wanita muslim. Semua wanita boleh dapatkan barangan kami yang terdiri daripada tudung, jubah dan pakaian pejabat.

“Dari segi rekaan pula, kami akan sentiasa berikan nafas baharu dan terkini. Ia bagi memastikan pelanggan kami puas hati dengan produk kami,” kata Dilla.

Zawara
Dilla Karim berkongsi perniagaan butik melalui sistem francais. - Foto Astro AWANI

Peluang kepada usahawan Bumiputera

Bukan sahaja memenuhi tanggungjawab terhadap bangsanya, tetapi juga sama-sama mengaut keuntungan melalui perniagaan berkonsepkan fesyen muslimah kontemporari.

Seperti Francaisi di Kuala Terengganu, Alia Omar, beliau mahu ambil peluang keemasan untuk mendapat ilmu dalam perniagaan busana muslimah. Bagi ibu kepada empat orang anak ini, katanya bukan mudah untuk individu membuka tanpa garis panduan yang betul.

"Pada 18 April ini, saya akan lancarkan francais Zawara di Kuala Terengganu. Saya yakin dengan platform ini dan produknya menawarkan harga yang berpatutan serta mampu milik," kata Alia Omar.

Sementara itu, francaisi di Bangi , Rosyam Mazlan pula mengatakan Zawara antara produk yang mendapat sambutan.

"Zawara antara francais yang terbaik. Pengurusannya lebih mementingkan perkembangan perniagaan dan kita akan dapat pengalaman dalam bidang yang diceburi," katanya.