GELANG PATAH: Rancangan untuk mewujudkan zon kewangan khas di Forest City disifatkan sebagai bukti keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap projek Forest City, selain dapat memainkan peranan bersama-sama kerajaan negeri untuk merancakkan lagi ekonomi negara.

Menurut Naib Presiden Forest City, Syarul Izam Sarifudin, Country Garden Group menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan itu sebagai usaha merancakkan pelaburan, pertumbuhan serta aktiviti ekonomi di Johor.

“Bagi pihak syarikat, terima kasih kami ucapkan kepada Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang membantu dalam usaha merangsang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi di Johor.

"Zon kewangan khas ini akan membolehkan insentif di Iskandar Malaysia diperluaskan ke Forest City termasuk kadar cukai pendapatan khas sebanyak 15 peratus untuk pekerja mahir dan visa masuk pelbagai.

"Ini akan memacu pertumbuhan mereka yang terlibat dalam sektor penjagaan kesihatan, pendidikan, dan pelancongan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Syarul Izam berkata pihaknya ketika ini di peringkat untuk meneroka lebih banyak peluang pelaburan.

Ujarnya, Forest City kini dalam fasa dua mengikut pelan tindakan pembangunan dan zon kewangan khas diyakini akan memberi manfaat kepada ekonomi Johor dan wilayah secara keseluruhannya.

"Kami sudah bersedia memberikan kerjasama yang berpanjangan dan berjaya.

"Country Garden Group juga ingin mengulangi komitmen syarikat yang sentiasa memastikan tanggungjawab kepada pelanggan dan masyarakat diutamakan serta sedang mengambil penyelesaian yang berkesan untuk sebarang cabaran yang mendatang.

"Pada masa ini, syarikat mempunyai aset bersih dan rizab tanah yang mencukupi. Ia akan menggunakan sepenuhnya dasar yang berkaitan, menyelaraskan semua sumber secara aktif, memastikan semua operasi kerja dijalankan mengikut jadual ditetapkan, mempergiatkan promosi, mengukuhkan pengurusan dalaman serta meningkatkan kecekapan operasi," katanya.

Dalam masa sama, Syarul Izam menambah keseluruhan operasi di rantau ini adalah selamat dan stabil, selain projek mereka beroperasi seperti biasa serta menunjukkan prestasi jualan yang kukuh.

Untuk rekod, Country Garden Group mempunyai lima projek di Malaysia iaitu Country Garden Danga Bay; Forest City dan Central Park di Johor; Lake City@KL North serta Diamond City di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Anwar memaklumkan kerajaan akan mewujudkan zon kewangan khas di Forest City.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ini bermakna kos untuk menjalankan perniagaan di zon kewangan khas itu adalah lebih berpatutan yang dibantu beberapa insentif yang disediakan kerajaan.

Anwar menambah lokasi Johor yang strategik iaitu bersebelahan Singapura serta mempunyai infrastuktur asas yang lengkap, boleh menarik lebih ramai pelabur terutamanya berikutan kos di Singapura yang dianggap tinggi pada masa ini.