IBARAKI:Seorang cedera dalam insiden letupan di sebuah fasiliti nuklear di Ibaraki yang terletak di timur Jepun pada Rabu.

Agensi Tenaga Atom Jepun berkata pekerja tersebut mengalami luka kebakaran ringan pada bahagian muka dan tangan.

Memetik laporan agensi berita Japan Today, letupan kecil itu berlaku di bilik pam di dalam sebuah makmal reaktor peleburan nuklear.

Insiden itu berlaku pada sekitar jam 4.30 petang (waktu tempatan) semasa kerja penyelenggaraan rutin alat pemadam api dilakukan di Institut Penyelidikan Sains Nuklear di Tokai.

Bagaimanapun, tiada sebarang kebocoran radiasi yang berlaku akibat insiden itu.

Letupan itu juga tidak menyebabkan sebarang kebakaran atau kerosakan kepada bangunan itu.

Agensi Tenaga Atom Jepun memaklumkan letupan itu berlaku tatkala lima pekerja yang menggunakan 'heat gun' dengan cecair pencuci yang melibatkan gas mudah terbakar semasa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.