BANJARMASIN: Pasukan penyelamat Indonesia melancarkan operasi pencarian besar-besaran bagi mengesan kira-kira 140 individu yang masih belum ditemukan selepas sebuah kapal penumpang dilaporkan terputus hubungan susulan cuaca buruk di Laut Jawa pada awal Ahad, lapor The Guardian.
Kapal jenis Ro-Ro, Virgo Transport 8, membawa 243 penumpang dan kru ketika kejadian. Kapal itu dilaporkan terputus hubungan kira-kira jam 2 pagi, beberapa jam selepas berlepas dari Surabaya, Jawa Timur menuju ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan.
Ketua Pejabat Agensi Mencari dan Menyelamat (Basarnas) Banjarmasin, I Putu Sudayana, berkata pihak berkuasa menerima laporan daripada operator kapal selepas dimaklumkan bahawa kapal berkenaan dilaporkan senget akibat dipukul ombak besar.
Dalam perkembangan terbaharu, seramai 102 individu berjaya dipindahkan dengan selamat menggunakan beberapa kapal bantuan yang berada di sekitar kawasan kejadian, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia.
Pasukan penyelamat kini menggerakkan pelbagai aset secara bersepadu termasuk kru penyelamat, kapal pengawal KN SAR Laksmana 241 serta sebuah helikopter Dauphin ke lokasi terakhir kapal itu dikesan bagi memperluaskan kawasan pencarian.
Sebagai sebuah negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau, Indonesia amat bergantung kepada perkhidmatan feri dan kapal laut sebagai antara mod pengangkutan utama kerana kosnya lebih rendah berbanding pengangkutan udara.
Bagaimanapun, kelemahan pematuhan serta penguatkuasaan piawaian keselamatan sering dikaitkan dengan kemalangan yang melibatkan pengangkutan laut di negara itu.