Skip to main content

Malaysia

Setem Borneo Utara wadah selami sejarah, ilmu filateli

KOTA KINABALU, 13 Sept - Pengumpul setem Borneo Utara William Wang, 67, yang diberi gelaran "Raja Segala Hobi" atau King of Hobbies menunjukkan koleksi setem Borneo Utara yang dikeluarkan pada 1883 dalam temu bual bersama BERNAMA baru-baru ini. William berpandangan bahawa mengumpul setem bukan sekadar aktiviti, sebaliknya menjadi wadah untuk mendalami sejarah, ilmu dan perkembangan masyarakat menerusi setiap keping setem yang dikumpulkannya. Bagi ahli filateli itu, minatnya bermula ketika beliau berusia 10
Pengumpul setem Borneo Utara William Wang, 67, yang diberi gelaran "Raja Segala Hobi" atau King of Hobbies menunjukkan koleksi setem Borneo Utara yang dikeluarkan pada 1883. - Foto Bernama
Advertisement

KOTA KINABALU: Bagi pengumpul setem Borneo Utara, gelaran sebagai Raja Segala Hobi bukan sekadar aktiviti mengumpul setem tetapi menjadi wadah mendalami sejarah, ilmu dan perkembangan masyarakat, kata ahli filateli William Wang.

William, 67, berkata minat itu bermula ketika berusia 10 tahun selepas mendapat dorongan bapanya, seorang pengetua sekolah selain kerap bertukar-tukar setem dengan rakan sekolah.

Koleksi utama beliau merangkumi setem Borneo Utara dari 1883 hingga 1963 selain turut meliputi sampul surat lama, poskad, cop pos dan pre-stamp entire yang dikeluarkan pada 1845, iaitu sebelum Borneo Utara mengeluarkan setem pertamanya.

“Terdapat sesuatu yang berunsur terapi berhubung hobi ini pada abad ke-21 kerana filateli menawarkan ketenangan fizikal daripada keletihan digital berterusan.

“Berada di meja dengan sepit setem, kanta pembesar dan koleksi sampul surat sejarah memerlukan fokus, kesabaran serta sifat ingin tahu yang membolehkan kita mengkaji dan menyelami sejarah tanpa gangguan skrin digital,” katanya kepada Bernama.

William yang juga ahli Persatuan Setem Malaysia (PSM) berkata setem Borneo Utara dengan nilai dua sen digunakan untuk penghantaran surat di seluruh Sabah termasuk ke Singapura, Melaka, Pulau Pinang dan Hong Kong dari 1883 hingga 1891.

Bagi penghantaran surat ke United Kingdom (UK), beliau berkata pengirim perlu menggunakan setem Negeri-Negeri Selat yang dibeli di pejabat pos Elopura, Kudat dan Gaya.

“Setem bukan sekadar resit penghantaran pos, sebaliknya ia jendela kecil ke masa lampau yang merakamkan seni, sejarah, geografi dan kisah manusia pada sekeping kertas kecil,” katanya.

William berkata minat terhadap filateli turut menyebabkan beliau mengeluarkan perbelanjaan untuk menyertai pameran di luar negara seperti Indonesia, New Zealand, Uruguay, China, Brazil dan Thailand.

Pada Ogos tahun lepas, William menerima anugerah Large Gold Medal menerusi pameran bertajuk The Postal History of Labuan & North Borneo Before and Under Chartered Company Rule di Bangkok, Thailand.

Pada Februari tahun sama, beliau turut menerima anugerah Large Gold and Special Award di Uruguay, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama meraih pengiktirafan itu di bawah naungan Federation Internationale de Philatelie (FIP).

Kejayaan itu mendapat perhatian Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil yang merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah menerusi video berdurasi 45 saat.

William berkata selepas bersara daripada sektor swasta, tumpuannya kini lebih kepada menulis, menyusun, mengkaji dan menjaga koleksi selain berkongsi maklumat menerusi laman Facebook North Borneo Philately yang mempunyai kira-kira 34,000 pengikut.

Image
KOTA KINABALU, 13 Sept - Pengumpul setem Borneo Utara William Wang, 67, yang diberi gelaran "Raja Segala Hobi" atau King of Hobbies menunjukkan koleksi "pre-stamp North Borneo entire" dalam temu bual bersama BERNAMA baru-baru ini. William berpandangan bahawa mengumpul setem bukan sekadar aktiviti, sebaliknya menjadi wadah untuk mendalami sejarah, ilmu dan perkembangan masyarakat menerusi setiap keping setem yang dikumpulkannya. Bagi ahli filateli itu, minatnya bermula ketika beliau berusia 10 tahun selepas
Pengumpul setem Borneo Utara William Wang, 67, yang diberi gelaran "Raja Segala Hobi" atau King of Hobbies menunjukkan koleksi "pre-stamp North Borneo entire”. - Foto Bernama

Beliau berkata antara perkara asas bagi mengenal pasti ketulenan sesuatu setem ialah warna dan perforasi atau “gigi setem”, iaitu bahagian kertas yang menonjol selepas setem dikoyakkan daripada helaian.

Koleksi setem Borneo Utara milik William juga mendapat pengesahan ketulenan daripada The Royal Philatelic Society London yang membuktikan nilai sejarah dan filateli yang sah.

William berkata mula menyertai pameran setem pada 2013 dan berjaya memperoleh Large Gold and Special Prize sempena Tri-Nation Stamp Exhibition Malaysia sebelum aktif pada peringkat antarabangsa.

Beliau mendapatkan koleksinya bukan sahaja ketika berada di UK malah menerusi proses lelongan yang memerlukan penelitian terhadap keadaan, sejarah dan ketulenan setiap bahan.

Bagi memastikan koleksi terus terpelihara dan warna setem tidak terjejas akibat faktor cuaca, William berkata akan menukar kertas pelekat setem setiap 10 tahun.

Beliau berharap lebih ramai generasi muda mengenali filateli sebagai hobi bernilai sejarah kerana penyertaan dari Malaysia dalam pameran antarabangsa lazimnya kurang daripada 10 individu selain berhasrat melihat lebih banyak pameran diadakan di Sabah untuk menghidupkan hobi itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement