KUALA LUMPUR: Usaha memupuk budaya integriti dalam pemeliharaan alam sekitar diperluas ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi Program Legasi Integriti Khazanah Alam (LeIKA), yang menyasarkan pelancong serta komuniti setempat.
Inisiatif pendidikan masyarakat oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi (JPLR) itu dilaksanakan menerusi pemasangan papan tanda mesej integriti di lokasi strategik tumpuan pelancong.
Majlis pelancaran LeIKA peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Taman Rimba Bukit Kerinchi, di sini, dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim.
Menerusi kerjasama IIM dan JPLR, papan tanda LeIKA akan dipasang di 10 lokasi taman rekreasi di bawah seliaan DBKL, meliputi Zon Utara, Zon Selatan, Zon Tengah dan Zon Pusat Kuala Lumpur.
Papan tanda berkenaan menjadi medium pendidikan dan peringatan berterusan kepada masyarakat untuk menghargai, memelihara serta melindungi khazanah alam dan biodiversiti, selaras dengan naratif “responsible tourist”.
Pelaksanaan LeIKA di Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada usaha berterusan IIM untuk membudayakan nilai integriti serta meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab masyarakat terhadap alam sekitar, khususnya dalam kalangan komuniti dan pengunjung taman rekreasi.
Program itu mula dilaksanakan pada 2023 di Sabah, sebelum diperluaskan pada 2024 ke sembilan negeri di Semenanjung Malaysia. Pelaksanaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meneruskan usaha memperkukuh mesej “responsible tourist” serta membudayakan nilai integriti dalam penjagaan alam sekitar dan kawasan rekreasi.
LeIKA turut menyokong agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 13 – Climate Action (Tindakan Iklim), SDG 14 – Life Below Water (Kehidupan di Bawah Air) dan SDG 15 – Life on Land (Kehidupan di Darat), yang masing-masing memberi fokus kepada tindakan terhadap perubahan iklim, pemeliharaan ekosistem marin serta perlindungan ekosistem daratan dan biodiversiti.