Skip to main content

Politik

Gesaan PRU16 awal langkah UMNO perkukuh posisi politik, tingkat kuasa tawar-menawar - Penganalisis

KUALA LUMPUR, 9 Sept - Para perwakilan pada Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abdul Muis berkata perkembangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 semalam menunjukkan UMNO optimis untuk berdepan pilihan raya. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Gesaan agar Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dipercepatkan dilihat sebagai langkah awal parti UMNO menyusun  kedudukan serta meningkatkan kuasa tawar-menawarnya sebelum rundingan politik dimuktamadkan.

Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abdul Muis berkata perkembangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 semalam menunjukkan UMNO optimis untuk berdepan pilihan raya.

Tambahnya, UMNO kini menggambarkan mempunyai autonomi menentukan hala tuju serta kelangsungan politiknya .

“Ini bukan sekadar seruan supaya pilihan raya diadakan lebih awal, tetapi usaha untuk menyusun semula kedudukan parti sebelum rundingan politik dimuktamadkan.

“Rundingan itu mungkin berlaku dalam tempoh terdekat di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ataupun membawa kepada PRU16,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Mujibu berkata, UMNO kini mempunyai lebih daripada satu pilihan jajaran politik, sama ada kekal bersama Kerajaan Perpaduan, bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau bergerak secara solo.

Keadaan itu, katanya, memberikan UMNO kuasa tawar-menawar dalam menentukan bentuk kerjasama yang mampu memberi pulangan terbaik kepada parti berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, desakan supaya pilihan raya diadakan lebih awal lazimnya didorong oleh dua pertimbangan utama.

“Mungkin merasakan momentum politik yang ada sedang memihak kepada UMNO dan mengadakan pilihan raya lebih awal kerana ingin mengubah keadaan politik semasa yang dilihat kurang menguntungkan,” katanya.

Dalam konteks UMNO, Mujibu berpandangan kedua-dua faktor itu wujud ketika parti berkenaan sedang membina momentum menerusi prestasi dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

UMNO juga, katanya, sedang memperkukuh semula jentera dan organisasinya, termasuk menerima kembali ahli yang pernah digantung atau meninggalkan parti.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa desakan mempercepatkan PRU16 tidak semestinya menunjukkan UMNO sudah cukup kuat untuk menang pada peringkat nasional.

“Dalam konteks gesaan supaya PRU16 diawalkan, sudah tentu ini adalah deja vu menjelang PRU15.

“Ketika itu, UMNO membina momentum menerusi kemenangan di Melaka dan Johor, sebelum mendesak kerajaan yang dipimpin parti itu sendiri supaya mengadakan pilihan raya lebih awal.

“Namun, hasil dan natijah PRU15 akhirnya tidak memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional,” atanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement