ANKARA: Seramai 11 pelajar cedera, termasuk dua dalam keadaan kritikal, selepas seorang remaja lelaki melepaskan tembakan di luar sebuah sekolah menengah di wilayah Manisa, barat Turkiye, pada Selasa.
Menurut pihak berkuasa, suspek berusia 15 tahun itu ditahan polis tidak lama selepas kejadian di Sekolah Menengah Vokasional dan Teknikal Anatolia Inci Uzmez.
Semua mangsa yang cedera dilaporkan merupakan pelajar sekolah berkenaan.
Menteri Kehakiman Turkiye, Akın Gürlek, berkata ibu, bapa dan datuk suspek turut ditahan bagi membantu siasatan.
Datuk remaja itu dipercayai pemilik senjata yang digunakan dalam serangan tersebut.
Motif kejadian masih belum dapat dipastikan dan siasatan sedang dijalankan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media tempatan menunjukkan suspek berjalan di kawasan berhampiran sambil memegang dan memeriksa sepucuk senapang patah sebelum kejadian berlaku.
Rakaman lain pula memperlihatkan individu yang dipercayai suspek melarikan diri dari lokasi kejadian dengan senjata masih berada di tangannya.
Mengikut undang-undang Turkiye, remaja berkenaan perlu dihadapkan ke mahkamah terlebih dahulu sebelum sebarang perintah tahanan rasmi dapat dikeluarkan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan Turkiye menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang amat menyedihkan dan memberi kesan mendalam kepada komuniti pendidikan negara tersebut.
Kementerian itu turut memaklumkan tiga pegawai penyiasat khas telah dihantar ke Manisa bagi membantu siasatan.
Kejadian terbaru itu merupakan kes tembakan di sekolah yang ketiga dilaporkan di Turkiye tahun ini.
Dua insiden tembakan maut di sekolah pada April lalu mencetuskan kemarahan masyarakat dan mendorong kerajaan memperkenalkan langkah keselamatan baharu bagi sesi akademik 2026-2027, termasuk kawalan lebih ketat terhadap pemilikan senjata api.
Sebelum tahun ini, Turkiye tidak mempunyai sejarah ketara membabitkan insiden tembakan di sekolah.
Dalam salah satu kejadian yang berlaku di Kahramanmaras pada April lalu, seorang remaja berusia 14 tahun membunuh sembilan pelajar berusia 10 dan 11 tahun serta seorang guru sebelum penyerang itu meninggal dunia di lokasi kejadian.