Skip to main content

Dunia

Huawei didapati bersalah curi rahsia perdagangan, bebas tuduhan jenayah terancang

Peguam bela Brian Heberlig menyampaikan hujah penutup bagi pihak Huawei Technologies dalam perbicaraan di hadapan Hakim Daerah Amerika Syarikat, Ann M. Donnelly, di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York City. - Foto REUTERS
Peguam bela Brian Heberlig menyampaikan hujah penutup bagi pihak Huawei Technologies dalam perbicaraan di hadapan Hakim Daerah Amerika Syarikat, Ann M. Donnelly, di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York City. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Huawei didapati bersalah atas 10 daripada 12 pertuduhan termasuk konspirasi mencuri rahsia perdagangan dan penipuan bank di Amerika Syarikat.
  • Juri menolak pertuduhan jenayah terancang, membebaskan Huawei daripada dakwaan beroperasi sebagai organisasi jenayah.
  • Hukuman terhadap Huawei akan diputuskan pada September 2027 dan syarikat dijangka mengemukakan rayuan.
Advertisement

NEW YORK: Gergasi teknologi China, Huawei, didapati bersalah atas beberapa pertuduhan termasuk konspirasi mencuri rahsia perdagangan dan penipuan bank dalam perbicaraan berprofil tinggi di Amerika Syarikat (AS), namun terlepas daripada tuduhan lebih berat berkaitan kegiatan jenayah terancang.

Menurut laporan BBC, juri di Mahkamah Brooklyn mensabitkan Huawei bagi 10 daripada 12 pertuduhan yang dikenakan, termasuk konspirasi melanggar sekatan AS, selepas perbicaraan berlangsung selama dua bulan.

Bagaimanapun, juri menolak pertuduhan konspirasi jenayah terancang yang memerlukan pihak pendakwa membuktikan syarikat itu beroperasi seperti sebuah organisasi jenayah.

Advertisement

Pendakwa raya AS mendakwa Huawei selama bertahun-tahun menggunakan pelbagai cara untuk mengembangkan perniagaan, termasuk mengelirukan institusi kewangan mengenai urus niaga berkaitan Iran serta memperoleh teknologi milik pesaing secara tidak sah bagi mendapatkan kelebihan dalam pasaran.

Pasukan pembelaan Huawei pula berhujah bahawa kejayaan syarikat itu berpunca daripada inovasi dan usaha sendiri, bukannya aktiviti jenayah seperti yang didakwa pendakwa.

Advertisement

Dalam kenyataan selepas keputusan mahkamah, Huawei menyifatkan pembebasan daripada tuduhan jenayah terancang sebagai bukti bahawa dakwaan tersebut tidak berasaskan fakta dan selari dengan pendirian yang dipegang syarikat itu selama lapan tahun.

Peguam Huawei, Brian Heberlig, memberitahu BBC bahawa keputusan juri menolak tuduhan jenayah terancang merupakan perkembangan penting kerana pertuduhan itu menggambarkan Huawei sebagai organisasi yang menjadikan jenayah sebagai budaya korporat.

Kes terhadap Huawei mula mendapat perhatian antarabangsa pada 2018 selepas pengarah kanan syarikat itu, Meng Wanzhou, ditahan di Kanada atas permintaan AS.

Beliau dibebaskan tiga tahun kemudian selepas mencapai perjanjian dengan pihak pendakwa raya AS.

Menurut BBC, hukuman terhadap Huawei dijadual diputuskan pada September 2027. Syarikat itu dijangka mengemukakan rayuan terhadap keputusan bersalah yang dikenakan ke atasnya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement