SEOUL: Lebih 100 warga asing yang dikehendaki kerana melakukan jenayah di luar negara kini bersembunyi di Korea Selatan, lapor Agensi Berita Yonhap berdasarkan data yang didedahkan pada Selasa.
Menurut data yang diberikan oleh Agensi Polis Kebangsaan Korea (KNPA) kepada wakil rakyat daripada Parti Demokratik yang memerintah, Kim Jun-hwan, seramai 110 warga asing yang diburu berada di negara itu setakat 12 Ogos.
Berdasarkan kerakyatan, warga China yang dikehendaki dan disenaraikan dalam notis Interpol berjumlah 40 orang, merangkumi bahagian terbesar iaitu 36 peratus, diikuti Uzbekistan dengan 19 orang dan Mongolia seramai 17 orang.
Penipuan merupakan kesalahan paling banyak direkodkan dengan 47 kes. Jenayah lain, termasuk penculikan, pengurungan dan pemerdagangan seks direkodkan sebanyak 29 kes. Kesalahan selebihnya melibatkan dadah, kecurian, pelanggaran undang-undang lalu lintas dan serangan.
Bagi menangani isu warga asing yang diburu, KNPA meningkatkan jumlah anggota yang ditugaskan khusus daripada 22 kepada 64 orang tahun ini, sekali gus hampir menggandakan jumlah penghantaran pulang warga asing yang diburu daripada 13 orang tahun lepas kepada 24 orang antara Januari dan Ogos tahun ini.
Polis berkata kerjasama antarabangsa yang diperkukuh turut membawa kepada peningkatan dalam penahanan penjenayah Korea Selatan yang melarikan diri ke luar negara.
Sebagai contoh, pihak berkuasa China menghantar pulang 192 warga Korea Selatan yang diburu tahun lepas, menurut data berkenaan.
-- BERNAMA-YONHAP