1,189 kematian akibat banjir Sumatera direkodkan setakat 12 Januari - BPNB

Selain mengemas kini data impak semasa tempoh tindak balas kecemasan, Muhari berkata kerajaan telah melanjutkan status darurat di enam daerah di Wilayah Aceh. - Gambar fail/Reuters/Ajeng Dinar Ulfiana
JAKARTA: Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) merekodkan sebanyak 1,189 kematian akibat banjir dan tanah runtuh di wilayah Aceh, Sumatera Utara serta Sumatera Barat, berdasarkan data terkini setakat Isnin, 12 Januari, lapor Agensi Berita ANTARA.
Ringkasan AI
- 1,189 kematian dilaporkan akibat banjir dan tanah runtuh di Aceh, Sumatera Utara, dan Sumatera Barat, dengan Aceh mencatatkan 550 kematian, Sumatera Utara 375, dan Sumatera Barat 231.
- 141 orang dilaporkan hilang dan 195,542 penduduk kehilangan tempat tinggal, terutamanya di Aceh Utara dengan 67,876 orang terpaksa dipindahkan.
- Kerajaan Indonesia melanjutkan status darurat di enam daerah di Aceh serta mempercepatkan usaha pemulihan melalui pembinaan jambatan Bailey dan Aramco, serta normalisasi sungai dan pembersihan kemudahan awam.
Selain mengemas kini data impak semasa tempoh tindak balas kecemasan, Muhari berkata kerajaan telah melanjutkan status darurat di enam daerah di Wilayah Aceh.
Beliau berkata kerajaan juga sedang mempercepatkan usaha pemulihan semasa fasa peralihan kecemasan di berpuluh-puluh daerah dan bandar di seluruh Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
Semasa fasa pemulihan, agensi pengurusan bencana itu mengutamakan pemulihan infrastruktur penting, terutamanya pembinaan 270 jambatan Bailey di ketiga-tiga wilayah terbabit.
"Setakat ini, 20 jambatan telah dipasang, manakala 10 lagi sedang dalam pembinaan," kata Muhari.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan juga telah mengerahkan 117 jambatan Aramco di Aceh bagi mempercepatkan pemulihan akses ke kawasan terpencil. Satu daripada struktur yang telah siap ialah Jambatan Bailey Jamur Ujung di laluan Bireuen - Takengon, yang kini boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.
Sementara itu, pembinaan Jambatan Krueng Pelang di Aceh Tengah telah mencapai 80 peratus siap. Usaha pemulihan turut merangkumi normalisasi sungai dan pembersihan kemudahan awam yang dijalankan oleh tentera Indonesia, Polis Nasional dan pihak berkuasa tempatan.
Agensi itu juga sedang mempergiatkan operasi pengubahsuaian cuaca (OMC) bagi mengurangkan risiko cuaca ekstrem yang boleh mengganggu usaha pemulihan. Setakat Isnin (12 Jan), pembenihan awan terkumpul telah mencecah 1,150 sorti di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


