Sekurang-kurangnya 13 orang maut dalam satu kejadian tembakan rambang oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah bar di bandar Minatitlan, Veracruz, Mexico pada Sabtu.

Beberapa individu tidak dikenali melepaskan tembakan selepas memasuki bar tersebut untuk mencari seorang lelaki, kata seorang jurucakap kerajaan Veracruz.

Serangan itu berlaku ketika sedang berlangsungnya satu perayaan keluarga.

Seramai tujuh lelaki, lima wanita dan seorang kanak-kanak meninggal dunia dalam kejadian itu manakala empat lagi dilaporkan cedera.

Menurut jurucakap tersebut, motif pembunuhan masih belum jelas bagaimanapun lelaki yang dicari kumpulan tersebut dikenal pasti sebagai pemilik sebuah bar.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki berkenaan merupakan pemilik bar terbabit mahupun dia berada di tempat kejadian semasa serangan itu berlaku.

Ketua Keselamatan Awam Negeri, Hugo Gutierrez memaklumkan di Twitter bahawa pihaknya sedang melancarkan operasi untuk memburu kumpulan berkenaan.