TOKYO: Tuntutan maritim China yang semakin meluas di Laut China Selatan tidak mempunyai sebarang asas undang-undang, menurut satu kenyataan bersama oleh Jepun, Filipina, Amerika Syarikat (AS), dan 11 buah negara lain pada Ahad.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan di ibu negara Jepun itu bertujuan memperingati ulang tahun ke-10 keputusan tribunal antarabangsa yang memihak kepada Filipina, lapor Reuters.
Pada tahun 2016, Filipina memenangi kes berkenaan di Mahkamah Tuntutan Antarabangsa (PCA) yang memutuskan bahawa tuntutan kedaulatan menyeluruh China di Laut China Selatan adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Walau bagaimanapun, keputusan berkenaan terus ditolak secara konsisten oleh Beijing.
"Kami menegaskan semula bahawa keputusan yang dibuat 10 tahun lalu oleh Tribunal Timbang Tara itu adalah satu mercu tanda penting, muktamad, dan mengikat secara sah di antara China dan Filipina," menurut kenyataan bersama itu.
Selain Jepun, Filipina, dan AS, pakatan 14 buah negara tersebut turut dianggotai oleh Australia, Britain, Kanada, Estonia, Jerman, Itali, Latvia, Lithuania, New Zealand, Romania, dan Slovenia.
Kesatuan Eropah (EU) turut mengeluarkan kenyataan berasingan bagi menyokong keputusan tersebut.
Sehubungan itu, kumpulan negara berkenaan menyatakan bantahan keras terhadap sebarang peningkatan konflik atau tindakan unilateral, termasuk penggunaan kekerasan dan paksaan yang boleh mengancam keamanan serta kestabilan di rantau berkenaan.
Dalam pada itu, Kementerian Luar China bertindak balas dengan mengulangi pendirian mereka bahawa keputusan timbang tara tersebut adalah tidak sah dan terbatal, selain menegaskan bahawa Beijing sama sekali tidak akan mengiktirafnya.
Konflik maritim di antara Filipina dan China semakin meruncing dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menyaksikan Manila menuduh Beijing melakukan tindakan berbahaya di dalam zon ekonomi eksklusifnya, termasuk penggunaan meriam air terhadap misi penghantaran bekalan.